Cerita dikejar anjing. Ya, buat kali pertama, di tahun ke-4 bertemankan anjing-anjing jalanan. Pada hemat mahu mengekalkan rekod bersih walau sebelumnya sudah beberapa kali ditertawa (kadang-kala dibantu) Pak Arab, dan agak malu kerana sering menghentikan langkah bila melihat anjing di depan.
Malam itu, 28 Jan 2012, kami singgah di Sempadan Assiut. Singgah untuk bersolat. Van diparkir agak jauh dari tandas. Ya, tandas yang sungguh "cantik" itu. Cantiknya mampu membuatkan saya masuk dan terus keluar kerana hampir termuntah.
Akibatnya, saya masuk buat kali ke-2 di saat separuh teman yang lain sudah selesai berwudhu'. Menunggu separuh yang berbaki untuk selesai, agak lambat. Maka saya berkeputusan untuk bergerak sendiri ke van. Dalam hati ada gerun, gerun pada anjing-anjing yang sebelumnya kelihatan mengelilingi kawasan kami dan menyalak tak henti-henti. Gerun juga kerana kawasan itu hanya ada beberapa lelaki Arab yang tak dikenali.
Lebih kurang 4 meter dari pintu van, saya berdiri berhampiran ambulans dan pondok petugas kecemasan. Anjing putih yang asyik menyalak sebelumnya, kembali menyalak ke arah saya. Di sisinya kedapatan seekor lagi anjing hitam. Kelihatannya mereka bersedia untuk mengejar.
Saya membuka langkah. Menyorok di balik ambulans, dan mengambil langkah dengan berhati-hati untuk kembali ke tandas. Tempat musyrif, dan pak cik pemandu van menunggu sama. Dalam hati, hanya doa dipanjatkan semoga anjing itu tak berjaya mendekat. Gagal membayangkan akibat kalau anjing itu berjaya mengejar saya.
Tapi "macho" masih tetap perlu dijaga. ;)
Sampai kembali ke tandas, ditanya pak musyrif dan pak cik van, "Takut anjing ke?"
Sengih cuma. "Anjing tu menyalak kat saya." Nak kata dikejar, belum pasti benar atau tidak anjing itu mengejar.
"Anjing tu kuis dengan tangan je, baling batu, larilah mereka," Kata mereka berdua.
Selain malas nak sertu, kemungkinan digigit juga ada. Luka-luka pasti menimbulkan trauma. Apatah lagi dengan kemungkinan virus rabies yang akan memerlukan kami mengambil suntikan pelali.
Usai adik-adik yang lain berwudhu', kami bergerak bersama. Langkah mereka yang saya kira berani, saya ikut sahaja. Ikut paling belakang.
Sampai sahaja di ambulans itu, anjing tadi masih setia menunggu. Salakan demi salakan, dan... terus mengejar!
Berteriakan kami lari. Saya kembali ke belakang ambulans, di sisi pondok petugas. Pada fikiran saya, anjing itu belum menghidu kami, maka yang akan dijejak hanya yang terlihat.
Berlari-lari pegawai-pegawai di situ keluar menghalau anjing. Terbalik kerusi mereka.
Bergerak keluar dari tempat persembunyian, saya ditolak ke depan. Al-maklum, saya paling tua. Tapi malangnya saya bukan paling tahu tentang menyelamatkan diri dari anjing!
Setelah itu, kami diiring ke pintu van. Seorang pegawai bertindak membaling batu ke arah anjing yang masih setia menunggu, dan yang lain terus memerhati.
Rianglah kami malam itu dengan kisah tawa dikejar anjing. Berlari pecut dengan berbaju kurung, tiada masalah rupanya. ;)
Turun ke surau pun masih takut-takut. Diingat-ingat kembali, seronok juga. Barangkali anjing itu terkejut melihat kami para wanita anggun tiba-tiba muncul di kawasan sempadan pada tengah malam. ;)
Kisahnya, hingga hari ini saya masih fobia dengan anjing berwarna putih yang menyalak-nyalak.