Pages

Showing posts with label Medical. Show all posts
Showing posts with label Medical. Show all posts

Wednesday, March 21

Kalau Tidak Dibelek Kelopak Mata, Manakan Nampak Trichiasisnya ;)

Antara dilema yang kerap dialami seorang doktor / jururawat adalah apabila berhadapan dengan pesakit berlainan jantina. Persoalan tentang sentuhan kulit kerap menjadi tanda tanya.

Round Ophthalmology sudah hampir ke penghujungnya. Inilah round pertama buat saya, yang memerlukan komunikasi dan pemeriksaan ke atas pesakit.

Kalau dapat pesakit wanita, beruntunglah. Boleh minta izin, dan sentuh untuk "belek" kelopak matanya. Kalau pesakit lelaki, saya memilih untuk sekadar melihat dari luaran sahaja.

Semalam, kami mendapat seorang pesakit lelaki yang berumur 63 tahun. Pesakit ini datang setelah menjalani pembedahan untuk cataract di kedua-dua belah matanya. Bertambah menarik (bagi seorang ahli bidang perubatan), Atuk ini juga pernah menjalani keratoplasty, pembedahan pemindahan kornea di kedua-dua belah matanya. Dan ini bermakna, kedua-dua matanya sedang melihat menggunakan kornea milik orang lain! 

Mata kananya, mempuyai kanta palsu, sementara mata kirinya tidak mempunyai kanta.

Selesai Doktor bertugas menerangkan kes, kami disuruh melihat sendiri pesakit. Antara penemuan lain yang perlu kami lihat adalah entropion (kelopak mata terlipat ke dalam - ke arah mata) dan triachiasis

Trichiasis - beberapa helai bulu mata menghala ke arah permukaan mata, menyebabkan gangguan pada mata. Kesannya, permukaan mata akan berubah, menjejaskan keadaan asalnya yang lutsinar.

Buat pertama kali, saya menyentuh mata pak cik ini. Ya, kasihan sungguh para pesakit, "dibelek" oleh 30 orang pelajar dalam masa beberapa minit. Sebelum itu sudah dibelek oleh beberapa orang doktor. Inilah antara penyebab yang menggagalkan saya untuk membelek pesakit dengan sepenuhnya.

Namun, kesan "belekan" ini, saya dapat melihat dengan jelas trichiasis yang dikatakan. Kewujudan lapisan kelopak tambahan pada mata pesakit ini membuatkan bulu mata yang tersalah arah (maldirected) ini agak terlindung dan tidak kelihatan dari luar.

Saya hanya menyedarinya setelah rakan-rakan lain berteka-teki di manakah trichiasis yang dikatakan.

Hasilnya, saya bersyukur kerana buat pertama kali menyentuh pesakit lelaki, saya dapat melihat sesuatu yang tidak dilihat orang lain! 

Pengajaran buat diri, rajin-rajinlah sentuh pesakit. Seperti pesanan Prof Dr Omar, jangan takut untuk belajar, jangan takut untuk berbuat salah. 


p/s: 
- Hanya kerana pesakit adalah seorang warga emas :) 

Sunday, August 7

Menerima Rawatan dari Doktor Lelaki?

Harus seorang doktor melihat kepada wanita asing di tempat-tempat dia mahu mengubatinya. Dalilnya ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Ummu Salamah r.a. bahawa beliau meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. untuk berbekam, maka baginda telah menyuruh Abu Taibah untuk membekamnya.

Pengubatan doktor kepada seorang wanita asing itu tiada harus melainkan dengan beberapa syarat:

  • Hendaklah doktor itu seorang yang salih, boleh dipercayai, kelakuannya terkenal baik, dan mempunyai ilmu tentang penyakit yang akan diubati serta mahir padanya.
  • Hendaklah dia tiada membuka dari anggota wanita pesakit itu, melainkan sekadar yang perlu sahaja, itu pun jika perlu untuk dilihat.
  • Hendaklah pada ketika itu, tiada seorang doktor wanita yang sama pengalamannya, yang boleh mengambil tempat doktor lelaki dari segi ilmunya dan kemahirannya.
  • Hendaklah pemeriksaan itu disaksikan oleh seorang mahram, atau suami wanita itu, ataupun wanita lain yang boleh dipercayai, seperti ibunya, atau saudara perempuannya, atau tetangganya.
  • Hendaklah doktor itu bukan seorang yang kafir, selama masih ada doktor yang Muslim.
Apabila cukup semua syarat-syarat ini, maka haruslah seorang doktor itu melihat, atau menyentuh anggota yang terdapat padanya penyakit, sebab Islam adalah agama yang memelihara manusia dari dosa, serta mendatangkan bagi mereka maslahat dan kemudahan.

Dasarnya adalah firman ini:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكمْ فِى الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Dan tiadalah Dia (Allah) menjadikan di dalam agama itu kesempitan.
[Al-Hajj: 78]



Dan firman-Nya yang lain:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Allah inginkan bagi kamu kemudahan, dan tiada inginkan bagi kamu kesusahan.
[Al-Baqarah: 185]


____________________________________________
Petikan daripada : Pendidikan Anak-anak dalam Islam, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan

p/s: simpan dalam blog biar mudah cari di masa hadapan. Maaf dah sebulan tak update~

Monday, May 23

A Forever Goodbye, Bersediakah Kita?


Tahukah anda gambar apakah di atas ini? Oh, inilah soalan pertama yang saya dapat tadi. Spirochaetes, Fontana Stain jawapannya.


Arwah bapa saudara saya, iaitu adik kepada ibu saya yang merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, meninggal dunia hampir setahun lalu (waktu itu saya sedang menduduki peperiksaan final untuk tahun 2). Meninggal kerana severe sepsis (jangkitan teruk). Doktor yang merawat tidak dapat mengesahkan apakah jangkitannya. Namun telahan yang paling tinggi adalah leptospirosis (penyakit kencing tikus). Leptosira, merupakan antara organisma yang berbemtuk spiral, dalam keluarga Spirochaetes.



Keadaan arwah bapa saudara saya yang saya panggil Che Il, menunjukkan prognosis yang membimbangkan. Masih saya ingat, hari itu hari Rabu, beliau ke klinik ditemani isterinya untuk mendapatkan MC. Sebelumnya beliau telah ke hospital kerana demam, namun dibenarkan pulang oleh doktor yang merawat. Dalam perjalanan pulang, arwah yang memandu tiba-tiba hilang kawalan dan berlaku kemalangan kecil. Isteri arwah yang saya panggil Cik Pah, mengambil alih pemanduan walaupun Cik Pah tidak pernah memandu, sekalipun memiliki lesen. Che Il tidak yakin untuk membenarkan Cik Pah memandu.

Tiba di rumah, Che Il terus terlantar, separa sedar. Cepat-cepat Tok Wan ke rumah Che Il. Ambulans dipanggil, Che Il dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Ummi waktu itu sedang mengikuti kursus. Hari Khamis, kursus ummi berakhir. Hanya pada hari Jumaat, barulah ummi berkesempatan ke hospital. Rabu malam, Che Il dipindahkan ke ICU.

Saya cuma mengetahui keadaan Che Il melalui status FB anak sepupu ummi yang agak rapat dengan keluarga kami. Setelah itu barulah saya menelefon rumah. Terkejut, kerana status itu membayangkan Che Il dalam keadaan kritikal, sedangkan adik beradik saya tidak memaklumkan apa-apa.

Khamis itu, kata ummi, Che Il sudah makin stabil. Jumaat esoknya, Che Il mula menunjukkan jangkitan sudah menular ke hati. Liver failure, disusuli renal failure. Pantas. Amat pantas. Apa pun yang menjangkiti Che Il telah menular dengan sangat pantas, dan telah turut menjejaskan otak.

Hari Jumaat itu, Doktor meminta keluarga bersedia dengan sebarang kemungkinan. Antibiotik telah sampai ke tahap maksimum. Petangnya, Abi memberitahu, tiada apa yang boleh dilakukan memandangkan hati dan buah pinggang sudah gagal berfungsi.

Doktor memberi pilihan, sekiranya berlaku cardiac arrest buat kali ke-2, adakah resuscitation perlu dilakukan? Cik Pah meminta Ummi membuat keputusan.

"Biarlah dia pergi dalam kerehatan, cukuplah." Begitu keputusan Ummi.

Gambar hiasan


Sabtu malam Ahaf, Che Il pergi menghadap Ilahi. Diamnya pada Rabu itu adalah diam untuk terakhir kali.

Khabar itu saya terima sewaktu sedang berada dalam Usrah untuk Naqibat. Air mata mengalir laju walaupun khabar itu memang sudah dijangka. Pertama kali menangis di hadapan orang ramai.

Dan tangisan itu, berlarutan. Sehingga seminggu kemudian, hati masih terasa pedih. Mengenangkan sepupu-sepupu yang masih kecil. Mengenangkan betapa saya tidak pernah berbuat baik kepada arwah sewaktu hayatnya.

Apa yang ada dalam memori saya adalah, Che Il pernah bertanya bilakah saya akan pulang ke Mesir. Ketika itu Che Il sekeluarga datang berkunjung ke rumah kami. Setelah saya menjawab, Che Il berkata: "Oh, sempat lagi la Che Il datang semula sebelum Kak Ngah balik Mesir."

Memori selepas itu kabur. Kabur dan pudar.

Hakikatnya, bila meninggalkan bumi Malaysia, we have to prepare for a forever Goodbye.

Itulah yang dapat saya rumuskan. Sama ada mereka, atau kita, hanya Dia yang tahu.

Entah, kuatkah saya untuk menerima berita-berita sebegini lagi.

Aisyah, rakan serumah saya pada malam itu yang cuba memujuk saya berkata: "Mesti Humairah rapat sangat dengan arwah kan."

Che Il bukanlah bapa saudara yang rapat dengan saya. Namun kehilanggannya sungguh terasa. Mungkin, kalau ditanya apakah peristiwa yang paling sedih yang pernah terjadi, inilah jawapan saya.

Allah, peliharalah keluargaku, Abi, Ummi, Along, adik-adikku. Mok, Che, Tok Wan, ibu-ibu dan bapa-bapa saudaraku, sepupuku, dan semua sahabat, hamba-hamba-MU yang ku kenal dan ku sayang.
_________________________________________________________________



Teringat dalam sesi Revision untuk Subjek Mikrobiologi, Dr. Marwa menekankan cara jangkita Leptospirosis, mestilah dikaitkan dengan contact with water. Golongan yang berisiko tinggi adalah pesawah, nelayan dan tentera yang terlibat dengan hutan. Tapi Arwah Che Il bukanlah adventerous orangnya. Beliau seorang guru. Last time i checked, di rumahnya tiada tikus. Sampai ke hari ini saya tidak dapat mengaitkan bagaimana mungkin Che Il dijangkiti Leptospira. Pihak hospital juga sampai ke hari ini tidak dapat memberikan diagnosis yang tepat.

Dalam buku juga membayangkan seolah-olah penyakit itu dapat dirawat dengan mudah. Oh, teori dan ilmu manusia, kuasa tadbir itu takkan mampu mengatasi kuasa Takdir.

Doktor sehebat Gregory House sekalipun wujud, belum tentu dapat memberi diagnosis yang tepat kalau bukan dengan kehendak-Nya.

"Apabila sampai ajalnya, tidak akan dilewatkan walau sesaat, (dan) tidak akan diawalkan"

Semoga, ilmu yang cuba kita gali, selari dengan kehendak-Nya, berkebetulan dengan iradah-Nya, bagi menjamin kualiti hidup hamba-hamba, bagi meneruskan ibadah kepada-Nya.

__________________________________________________________________

Alhamdulillah, hari ini, dengan bermulanya peperiksaan praktikal untuk subjek Mikrobiologi, menandakan bermulalah sesi peperiksaan akhir tahun bagi tahun ini. Tahun 3 dikatakan tahun paling mencabar bagi pelajar-pelajar kuliah perubatan di Mesir.

Moga bermula dengan baik, dan berakhir dengan baik juga. Mahu saya ucapkan Selamat tinggal kepada tahun 3 dengan senyuman dan kesyukuran, serta meneroka alam Tahun 4 dengan kegilaan yang tinggi terhadap ilmu.

Doakan kami. :)


"Ya Allah, berikanlah kejayaan yang cemerlang buat Nur Humairah Che Ibrahim dan sahabat-sahabatnya, moga kejayaan mereka menjadi kejayaan buat ummah, permudahkanlah urusan mereka dalam meneroka ilmu-Mu yang luas, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."

:)

"Ya Allah yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami pada jalan ini. Kuatkanlah kami dalam menempuh ujian dunia ini"



Guna keyword doa kalau tak keluar gambar ni tak sah,
-Selingan kena letak kecik-kecik je-
Tapi ustazah pesan kena doa dari awal. :)