Hari ini dalam kelas Klinikal bagi Paediatrics, kami ditemukan dengan pesakit berusia setahun dua bulan yang mengalami masalah Cerebral Palsy, atau nama yang sering diguna, CP. Selama ini saya banyak terbaca blog kegigihan ibu bapa yang mempunyai anak-anak CP yang berkongsi pengalaman dan usaha mereka memastikan physiotherapy anak-anak istimewa ini tetap berjalan. Sedikit perkembangan adalah satu khabar yang sungguh menggembirakan.
CP, didefiniskan sebagai penyakit berkaitan saraf motor (membabitkan pergerakan dan cara kerja), diakibatkan oleh masalah sewaktu kehamilan, atau semasa proses bersalin, atau sejurus selepas kelahiran. Antara masalah sewaktu kehamilan adalah jangkitan dalam rahim. Manakala, semasa kelahiran adalah kerana proses bersalin yang lama, seterusnya menyebabkan bayi mengalami kekurangan oksigen dan kerosakan pada otak.
Keseriusan penyakit ini adalah bergantung kepada peratusan saraf yang rosak. Untuk itu, rawatan bagi penyakit ini adalah bagi memastikan saraf yang masih elok tidak rosak akibat tidak digunakan, atau istilahnya disuse atrophy. Maka physiotherapy akan memastikan pemulihan cara kerja dan otot-otot akan dikuatkan dengan saraf yang masih berbaki akan mengimbal kekurangan saraf yang telah mati.
Kes yang kami lihat tadi, CP yang disebabkan oleh kecuaian doktor. Ya, kecuaian doktor yang menyebabkan kecacatan seumur hidup bagi bayi tersebut. Proses kelahiran bayi itu mengambil masa 2 jam, dan setelah agak lama, barulah Doktor yang menguruskan proses bersalin membuat keputusan untuk melakukan C-section. Selepas kelahiran, bayi itu juga agak lewat dihantar ke NICU.
Profesor Mervat yang mengajar kami, berpesan bersungguh-sungguh, sekiranya ada dalam kalangan kami yang bakal menjadi Pakar Perbidanan, hendaklah tidak teragak-agak untuk melakukan C-section bila keadaan memerlukan. Kes yang pernah beliau lihat, sepasang kembar dilahirkan dalam keadaan kedua-duanya mendapat CP. Di Mesir, kandungan melebihi satu adalah indikasi untuk kelahiran melalui pembedahan.
Tambah Prof lagi, rakan setugas beliau, oleh kerana banyak kali melihat kes CP, mengkehendaki semua proses kelahiran anaknya adalah melalui C-section walaupun keadaan tidak memerlukan.
Berkali-kali kepala saya tergeleng-geleng mendengar Prof menceritakan history pesakit tadi. Kerana kesilapan doktor, berapa ramai bayi yang perlu melalui proses tumbesaran yang sukar. Dan pastinya keadaan ini akan memberi kesan kepada keseluruhan keluarga. Dari segi jagaan, dari segi kewangan, dan dari segi emosi. Serta kesannya kepada adik beradik yang lain. The baby will pay the price~
Adik saya menghidap Prader-Willi syndrome. Walaupun diagnosisnya dibuat lambat (umur 8 tahun), dan proses tumbesarannya banyak yang terlewat, namun keadaan penyakit yang tidak diakibatkan oleh misconduct, penerimaan dalam keluarga pasti berlainan. Sewaktu adik saya belum cukup sebulan, jururawat dari Klinik Kesihatan yang bertugas datang ke rumah, ummi saya menyuarakan kebimbangan tentang berat badan adik saya yang tidak naik. Dia memberitahu ibu saya tiada apa yang perlu dirisaukan. Beberapa ketika, ummi membawa adik saya ke klinik swasta untuk imunisasi. Doktor terus membuat referral ke HUSM. Kesannya, adik saya ditahan di NICU kembali, dan dipasangkan nasogastric tube (indicating malnutrition and anorexia). Sungguh, nasihat yang salah daripada jururawat itu kami masih ingat sampai sekarang! Kalau tak tahu, katakan sahaja tak tahu, tak jatuh kredibiliti kita kalau minta dibawa untuk mendapat nasihat Doktor.
Sungguh, semuanya aturan Qadha dan Qadar Allah. Tapi sebagai manusia, menjauhi kesilapan kerana masalah disipin dan amanah diri adalah kewajipan.
Saya berpesan kepada diri saya, dan sahabat-sahabat seperjuangan dalam bidang sains kesihatan, worst case scenario perlu sentiasa ada dalam bayangan. Jangan keyakinan atas kejayaan dan keyakinan terhadap ilmu kita membuatkan kita salah dalam membuat keputusan. Kita berurusan dengan nyawa yang menjadi amanah, dan well-being state hamba Allah, yang juga amanah.
Buat pembaca, doakan kami sentiasa diberikan petunjuk oleh Allah, dan doakan saya mampu menjadi pegawai perubatan yang cemerlang (tapi jangan cemerlang yang membawa kepada keangkuhan), serta dijauhkan daripada kesilapan dalam memberi rawatan.
I was doing research on accessible tourism today and found the term cerebral palsy. I think I have seen that before, and now I know I seen it in your blog, maybe. hehe
ReplyDelete