Pages

Saturday, December 4

Turunlah dari Permaidani Merah itu!



"Nak berdakwah di atas permaidani merah."

Ummi pernah menyebutkan istilah ini sewaktu cuti musim panas. Ummi memberi perumpamaan badan-badan yang katanya mahu berdakwah, tapi pilih cara mudah. Saya kurang ambil perhatian. Sebab kata-kata ini Ummi sebutkan hasil daripada bebelan saya sendiri.

Berbincang dan mengikuti sesi perkongsian dengan orang-orang berpengalaman dalam medan dakwah, saya sedikit demi sedikit mula memahami maksud kata-kata itu. Akhirnya saya sedar, bukan hanya golongan yang selalu kita sebutkan itu yang suka berdakwah di atas hamparan permaidani merah, namun sikap dan situasi ini sudah menular dan merebak dalam satu persatuan yang mengwar-warkan wala', sam3u wa at-tho3ah, dan pengorbanan.

Mari saya rungkaikan maksud kalimah-kalimah di atas. Bagaimana yang dikatakan berdakwah atau berjuang di atas hamparan permaidani merah itu?

إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر


“Sesungguhnya jihad yang besar adalah kalimat ‘adil (benar) yang disampaikan di sisi penguasa yang zalim/jahat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 8/83, no. 2100. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Jami’ ash-Shoghir, Shohih Sunan at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)


Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang mengaku diri sebagai pejuang agama Allah mampu melakukan ini? Usahkan menegur pemimpin yang zalim, menegur masyarakat di sekeliling yang melakukan maksiat kepada Pencipta sahaja sudah longlai dan lari! Kenapa? Kerana tidak dididik dengan ketegasan. Hanya dengan kemanjaan. Hanya dengan menyempitkan tarbiah kepada UKHUWWAH berkelompok, menjaga hanya sesama ahli jemaah. Inikah bakal Khalifah yang kita harapkan? Kononnya mahu menguasai dunia, membentuk ustaziatul alam. Ah, usah terus bermimpi, bangkitlah dari lenamu!

Terusan bermimpi, menghebahkan gaya hidup untuk tidak menjadi robot, hadam segala maratib amal, usul isyrin dan muasafat tarbiah tidak menjamin kualiti dakwah. Istilah paling tepat adalah SYOK SENDIRI. Syok, asyik, dzuq. Rasanya sudah cukup amal, cukup mantap ukhuwwah dan cukup usrah untuk membina fardu Muslim. Mari kita menganjak ke Beit Muslim. Oh, sudah punya anak. Kita kumpulkan semua kita dalam satu jemaah kita. Inilah Mujtama' Muslim. Semudah itukah?? Adakah cukup untuk menegakkan khilafah dengan menjaga hanya sebahagian 1% daripada bilangan kaum Muslimin?

Cukup lah dengan egomu. Hapuskan riak dan ujubmu. Itu hanya idealistik! Kembalilah kepada realiti. Turunlah dari permaidani itu. Selami masyarakat di sekelilingmu. Lupakan kepentingan dunia dalam sebenar-benar makna. Biar terancam jawatan dan kedudukan.

Dalam mengajak kepada kebenaran, semua orang berkobar-kobar. Habis semua orang diajaknya untuk berusrah. Oh, usrah bunyinya berat. Takpe, kita buat sharing. Kita berkongsi sesama kita. Kita kan orang hebat.

Dalam menganjurkan sharing-sharing tersebut, kepada siapakah pula ilmu-ilmu yang akan diperbincangkan dirujuk? Dari manakah sumber ilmu-ilmu tersebut? Wahyu dari langit mungkin?

Barangkali selepas ini kedai-kedai kitab boleh gulung tikar. Semua ilmu boleh didapati di internet. Barangkali selepas ini kitab-kitab tafsir boleh dibakar. Tiada nilainya perbahasan-perbahasan ulama, kerana kita punya akal yang hebat! Hebat, boleh mentafsir maksud kalam Allah.

A: Kita baca ayat dari surah sekian-sekian. [Selesai baca]. Ok adik-adik, apa yang boleh kita dapat dari ayat ni? Ada sape-sape yang nk kongsikan apa yang dia dapat?

B: "Bila saya baca ayat ni.. Saya rasa macam Allah nak tunjukkan kat kita, kita ni tak pernah pun jaga sahabat kita dengan cinta yang besar. Macam ada sorang ukhti ni.. Dia menangis baca ayat ni.. Nak katanya kita ni jauh lagi dengan tahap ukhuwah yang tertinggi."

C: "Bagi saya kan akak.. Ayat ni.. macam Allah nk tunjuk kita.. bla3. sedangkan Nabi pun begini2. "


Ah! Mudahnya kalian mengenepikan perbahasan ulama dengan mencipta perbahasan sendiri! Paling kurang pun, rujuklah dahulu sabab nuzul ayatnya. Cukup-cukuplah dengan syok sendiri. Bila mampu membuat satu ulasan tentang ayat, terasa diri hebat! Hebat! Dhollu wa adhollu. Inikah yang kalian sebutkan sebagai kembali kepada Al-Quran dan Sunnah? Oh, hadis junjungan s.a.w. bukan sekadar matan Arba3in. Dan ada juga hadis yang fungsinya bagi menerangkan ayat-ayat Al-Quran. Sudah kalian lumati semua itu?

Cukup-cukuplah mengkaderkan golongan syok sendiri. Cukuplah. Dunia sudah tua. Tak larat lagi menanggung pelbagai kerosakan.

Turunlah dari karpet merah itu. Rendahkan egomu. Hapuskan riak dan ujubmu. Belajarlah dari yang ahli. Biarlah kita bina kekuatan menyampaikan hasil daripada ilmu. Bukan ilmu yang dibina atas hasil kelantangan suara dalam menyampaikan.

Saya juga sayang kepada sahabat-sahabat seperjuangan saya. Bukan kita tidak melakukan kesilapan. Tapi kita juga syok sendiri. Jiwa tarbiah itu kurang dihayati. Berpersatuan hanya kerana kita mampu bekerjakah? Berpersatuan kerana hanya dengan itu kita akan mampu berjuang untuk Islam? Sempit.

Benar, menguruskan dan mempermudahkan urusan orang lain melalui jalan persatuan adalah satu tarbiah yang sangat berkesan. Namun, jika tembok keegoanmu tidak dapat diruntuhkan, itu bukti kekurangan tarbiah. Tidak tahu beza tempat untuk serius dan bergurau mesra. Boleh tergelak mengekek ketika sahabat meluahkan beban yang ditanggung. Boleh mempersendakan idea orang lain secara mentah hanya kerana kita punya kepetahan berkata-kata? Kerana kita punya kehebatan dalam pengurusan dan perancangan?

Lebih malang lagi apabila tidak pernah serius dalam tarbiah. Tidak boleh menjatuhkan ego menerima kritikan. Seolah-olah semuanya akan dapat diatasi sendiri.

Jauhkanlah dirimu dari karpet merah itu. Hindarkanlah sahabat. Di sini kita tidak menerima tohmahan dan ancaman. Sepulangnya ke Malaysia, pelbagai ancaman menanti. Mudah saja jalannya untuk futur. Sehebat mana pun kita dalam merencana dan menguruskan aktiviti persatuan, tanpa jiwa tarbiah yang mapan, tanpa hati yang mampu tunduk kepada arahan, tanpa jiwa yang mampu menerima dan menghadam kritikan, tanpa rohani yang tawadhu', insyaAllah futur akan menyertaimu.

Jalan dakwah tak akan direntangi permaidani merah



Sunday, November 7

Hapuskan Ananiyyah!

Hye. Selamat Petang waktu Mesir. Sekarang 3.11. Asar masuk sekitar 2.40.

Haha. Takde benda nak tulis.

Begini2. Mari saya cerita satu kisah.

Suatu hari saya ke kelas Praktikal Pharma. Setelah kelas berakhir dengan kuiz (dan saya tak tahu tajuk apa akan masuk kuiz walhal orang lain tahu. patutla orang lain ramai dapat markah penuh 10. isk4. apa nak jadi la budak ni sorang. isk3 lagi. kesian.)

Pada sekitar jam 8.40 pagi, kami pun beranjaklah ke kelas untuk syarahan pula. Masuk sahaja kelas, phewwwwwww.... angin sepoi2 bahasa bertiup. Huh. Dah nak masuk musim sejuk la ni. (Lihaf tak hantar dobi lagi. Isk. Nak berhibernasi camne nih..) Kemudian, masuk la pak cik technician di department pharma. Ammu Said namanya. Beliau membuka suis kipas. Eh, maksud saya, beliau memusing speed controller kipas itu supaya kipas berpusing. Ha! Kipas kat Mesir suisnya pakai speed controller itu. (Yer.. bahasa saya sangat teruk kan. Tak reti nk meluaikan bahasa, klu Kelantan straight insyaAllah boleh. Ini hasil kempen bercakap bahasa kelantan, sampai rosak bahasa luai)

Maka, spontan, kami yg di kerusi paling belakang (mengaku pun selalu duduk belakang) berganjak ke satu sudut dan Idayu ke depan mematikan kipas. Sejuk weh! Beberapa minit kemudian datanglah seorang sahabat, duduk di tepiku. Spontan, beliau minta kipas dipasang kembali. Adeh. Tolonglah.

Kami diam.

"Kalau nak kipas duduk la kat tempat lain." Kata seorang teman. Oh, sila baca dengan lenggok bahasa sopan. Sungguh.

"Emm.. Kitorang duduk sini dari tadi lagi. Sejuk la." Saya cuba minta difahami. Maksud saya, mungkin kerana dia masih penat berjalan, atau baru sahaja tiba di situ, dia masih terasa panas. Bertenang sedikit, metabolisma turun, mesti sejuk lah!

Diam lagi. Dia kelihatan makin gelisah.

"Erm, sejuk la. Angin masuk ikut tingkap ni," Saya menunjuk ke arah tingkap. Saya memang suka duduk di tepi. 

Diam beberapa detik.

"Ala, tak boleh ke nak bukak nombor 1?" Dia bersuara tiba-tiba.

Saya diam tidak menjawab. Takkan demi seorang harus diabaikan yang lain. Lagi pula, kami dahulu yang duduk di situ. Beramai-ramai. Dan keputusan tidak harus saya seorang yang putuskan.

Lama kemudian, dia berdiri. Tahu apa yang dia buat?

Menanggalkan baju sejuknya!

Ini saya punya lah. Beliau pakai yg begini juga.
Saya tak tahu apa nama spesifiknya utk baju spesis ini.
Pakai baju ini di musim sejuk sangat seronok.
Oh, maksud saya sungguh memanaskan.
Bila nak iron baju atau ke dapur sah2 kena tanggalkan. Panas.


Adoi. Saya berpaling ke kawan di tepi.

"Dia pakai baju sejuk ke??" Adoi.. saya tertawa tergeleng-geleng.
"Ho lah..!" Jawab rakan saya.
Adoi.. Sekian terima kasih. Marilah memikirkan maslahah ammah melebihi kepentingan diri.

Adeih. Tak tercapai akalku nak pikir.
Oh, inilah update dari saya. wink3*

Oh, saya tahu tajuknya satu exagerasi. Banteras dari kecil, biar tak membarah.

Sunday, August 15

Pembangunan Wanita?

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang

Salam kesejahteraan dan salam berkah Ramadhan buat kalian.

Jemari ini semakin hilang rancak dan rentaknya bila memegang pena atau menari di papan kekunci. Akal ini semakin perlahan memuntahkan kata-kata yang bersesuaian bagi melakarkan yang tersemat di fikiran. Tujuan kali ini bukanlah sekadar meluah rasa, bahkan sebolehnya mahu mencoret apa yang tercerna di fikiran.

YAHOO! @ Pangsun: Jungle Trekking
(Macam jalan-jalan kat air terjun biasa je.. tak thrille pun.. Hak2)

Baru-baru ini, saya menyertai Summer Camp anjuran PERUBATAN. Seperti biasa, bilangan peserta wanita akan melebihi lelaki. Apa yang lagi menarik, pada kali ini, hanya terdapat 4 orang peserta lelaki. Hebatkan mereka? Kekurangan peserta lelaki ditampung oleh bilangan AJK lelaki yang menjadikan keselurahannya terdapat 16 orang lelaki, bersama 40 peserta dan AJK perempuan.

Oleh kerana peserta ramai daripada kaum Hawa, pengisian dan slot juga lebih menjurus kepada wanita.

Sedar atau tidak, di zaman milenia ini kita lebih menumpukan kepada pembangunan wanita. Mahu wanita seiring melangkah ke hadapan, mahu wanita serba boleh, mahu wanita berdikari dan berbagai-bagai lagi kemahuan dengan tujuan "meningkatkan daya saing wanita". Seolah-olah satu usaha besar-besaran bagi membuang imej "wanita tempatnya di dapur" giat dijalankan.

Natijahnya, sehingga ke hari ini, pelbagai program pembangunan wanita dianjurkan. Pelbagai kursus dan seminar diperkenalkan. Tumbuhlah pula persatuan-persatuan dan pertubuhan yang menaungi dan memberi seokongan kepada para wanita dengan mekarnya.

Silalah bilang mengikut jantina :P

Ya, usaha itu berjaya. Lihat sahaja bagaimana kaum Hawa mendominasi IPT. Lihat sahaja berapa ramai wanita yang menyandang jawatan berpangkat rendah sehinggalah ke peringkat Menteri. Berapa ramai yang terlibat dalam menggubal dasar-dasar negara, memberi komentar dan pandangan yang mengubah landskap dunia.

Namun kita lupa pada pembangunan kaum Adam yang seharusnya lebih dititkberatkan. Hasil pengabaian ini, lihat sahaja berapa ramai pula dari kaum Adam yang terperuk di Pusat Pemulihan?

Di akhir zaman, bilangan lelaki akan merosot. Susut akan makin susut bilamana bilangan lelaki yang "competent" makin merudum. Nah, biar sahaja kalau bukan azali mereka rajin menekuni buku. Asalkan mampu membangun di sudut yang lainnya.

Lelaki akan jadi ketua keluarga. Peranan inilah yang menjadi akar umbi dan penentu kepada kemungkinan kewujudan "keluarga sakinah". Longlainya peranan yang dimainkan seorang ketua keluarga dalam mengemudi rumahtangga menatijahkan pelbagai masalah yang kini membarah dalam masyarakat. Ya, kesannya sudah kita lihat kini.

Bapa sibuk mencari rezeki. Ibu ikut sama turun padang bagi memanfaatkan segulung ijazah atau diploma, di samping menampung keperluan keluarga yang tidak terlunas sekadar dengan pendapatan bapa. Anak-anak hilang kawalan. Bukan dibiarkan, tapi tak makan tegahan.

Akhirnya kitar ini berterusan. Pendidikan anak-anak terabai, dan lahirlah masyarakat tanpa nilai akhlaq yang mapan.

Dari keluarga yang bermasalah, anak-anak mencari rakan di luar. Bergaul bebas, meneruskan kitar pembinaan keluarga yang juga bermasalah.

Semuanya atas dasar tidak punya agama.

Berteori memang mudah. Mesej saya di sini, pembangunan kaum lelaki juga harus seiring malahan lebih terkehadapan daripada kaum wanita.


Sekian dahulu buat kali ini, harap mesejnya jelas. Sedang bertatih untuk kembali menulis dan menkonstruk ayat. :)

Sunday, May 9

P-i-n-d-a-h

Ada beberapa orang anak yatim yang tinggal di sebuah rumah kebajikan bersama seorang penjaga. Selepas setahun, penjaga itu terpaksa meninggalkan mereka. Tambahan pula, mereka sudah boleh berdikari.

Lantas mereka bersama-sama berpindah ke sebuah rumah baru. Mereka bersama-sama memikirkan bagaimana untuk memulakan kehidupan di rumah itu. Di antara mereka, mereka lantik seorang ketua. Kerana itu syarat yang diletakkan oleh Pemantau Anak-anak Yatim Dermaga.

Beberapa masalah timbul sepanjang mereka berada di rumah baru. Masalahnya wujud kerana ada seorang jiran yang suka mengambil kesempatan kerana mereka anak yatim yang berharta. Mereka tidak petah berkata-kata. Mereka tidak arif selok-belok negeri itu. Ketua mereka sering cuba berbincang dan meminta adik-beradiknya ikut sama berbicara. Menurut ketuanya, cara itu boleh membantu melancarkan komukasi mereka. Malahan pula, akhir-akhir ini ketua mereka malas ke kelas pertuturan. Sebelum ini, mereka pernah mengambil kursus pertuturan bersama-sama.

Tetapi mereka berdiam cuma, marah terlepas di belakang jiran sahaja. Hanya berketuk-ketuk dalam tempurung sesama mereka, meletakkan segalanya atas bahu si 'ketua' untuk berbicara. "Awak kan ketua, tugas awak la kena cakap!" Begitu hujah mereka.

Beberapa bulan kemudian, seorang anak yatim lain yang ditinggalkan adik beradiknya bertanya kepada si 'ketua'. "Bukankah adik-beradikmu juga mahu berpindah keluar?"

Si 'ketua' hanya menjawab: "Entah, mereka tidak pernah menyebutnya."

Si 'ketua' cuma berdiam diri dan menunggu mereka memberitahu sendiri.

Beberapa hari kemudian, kerana khabar angin sudah kencang di luar, si 'ketua' bertanya kepada saudaranya. "Benarkah kiranya kamu mahu bergerak keluar?"

Dijawab saudaranya: "Tak buat keputusan lagi". Dan diam mengisi masa.

"Kalau kalian mahu berpindah sebab masalah jiran kita, ingatlah, masa kita masuk ke sini dulu kita masuk sama-sama," ketua menutup bicara. Masalah jiran itu sekadar terlintas di fikiran ketua.

Petangnya, sewaktu melepak-lepak dengan beberapa rakan, sekali lagi isu pindah keluar. Kata rakan ketua, "benar, saudaramu ada memberitahu kami. Katanya kerana masalah jiran."

Oh, kencang ribut di luar, hanya kami di bawah bumbung yang aman.


Fikiran ketua mula menerawang dengan perkara-perkara buruk.
Tamat.

Nota : Ada orang kata "Not talking is the root of evil"

Thursday, March 4

Mari Menaip dengan Kemas

Menaip. Padam. Menaip. Naik atas. Turun bawah. Mencelah di perenggan. Padam. Sungguhlah saya sudah kehilangan fokus.

Straight to the point, tujuan post kali ini adalah untuk membebel tentang penggunaan bahasa yang sangat teruk oleh mereka yang ber"iq" tinggi. (Ya, saya akui bahasa saya di Facebook dan di ruangan komen juga sangat teruk, namun saya masih mampu menjaga bahasa saya di tempat rasmi. Hehe)

Di bawah ini saya senaraikan beberapa tatacara menaip yang perlu diambil perhatian (baca: yang saya ambil perhatian) dalam kerja-kerja menaip yang rasmi. Sesungguhnya tata penaipan yang buruk itu sangat menjengkelkan dan sangat memualkan.

1) Pastikan penggunaan huruf kecil yang tidak bercampur dengan huruf besar. Huruf besar hendaklah digunakan di awal perkataan sahaja. Bagi kata hubung, pengawalan dengan huruf besar adalah tidak diperlukan. Sila elakkan penggunaan semua huruf besar.
  • Pemergian yang Abadi [betul]
  • Pemergian Yang Abadi [salah]
  • PeMeRGiAn yAnG AbAdi [sangat salah]

2) Gunakan fungsi huruf tebal (bold), garis bawah (underline) dan huruf serong (italic) pada tempat sepatutnya. Fungsi huruf tebal dan garis bawah adalah untuk menekankan satu-satu perkataan atau isi penting. Perlu diambil perhatian, kedua-dua formatting ini hendaklah tidak digunakan sekaligus. Bermakna, gunakan salah satu daripa keduanya.
  • Nama saya Humairah. [betul]
  • Nama saya Humairah [salah]
  • Nama saya Humairah. [betul]

Memandangkan Bahasa Melayu sering tidak terlepas daripada digunakan bersama-sama istilah daripada Bahasa Asing, maka penggunaan istilah ini juga perlu diambil perhatian. Kebiasaannya, penggunaan huruf serong adalah bagi menunjukkan penggunaan bahasa asing. Walaubagaimanapun, penggunaan pengikat kata juga adalah disarankan.
  • Contoh 1: Saya perlu menggunakan formatting yang betul.
  • Contoh 2: Beliau menaip menggunakan "formatting" yang salah.
3) Penggunaan tanda baca
Perlu difahami fungsi penanda bacaan adalah memudahkan kefahaman pembaca untuk menyelarikan tulisan dengan nada bacaan. Dalam cara menaip, selepas menggunakan tanda baca seperti noktah [.], koma [,], tanda seru [!], tanda soal [?] dan sebagainya, hendaklah diiringi dengan [jarak] terlebih dahulu sebelum ditaip perkataan seterusnya.

Selain itu, perlu diingat, huruf pertama selepas noktah adalah huruf besar.
  • Oleh itu, beliau sangat rajin [salah]
  • Oleh itu,beliau sangat malas [salah]
  • Beliau tidak makan nasi.sebab nasi ada kanji. [salah]
Perlu diambil perhatian juga, penggunaan tanda baca yang melebihi satu adalah tidak diperlukan, walaupun anda mahu menggambarkan emosi anda. Cara yang tepat untuk menggambarkan emosi adalah menggambarkannya dalam bentuk ayat, bukan tanda baca yang melebihi keperluan kerana itulah tujuan utama menulis. Memahamkan pembaca tentang apa yang ingin anda sampaikan melalui perkataan. Kan?

4) Penggunaan kependekan
Sila jangan gunakan sebarang kependekan dalam taipan rasmi. Laman internet, e-mel dan blog tidak menghadkan aksara yang boleh dihantar. Tiada alasan kenapa anda perlu menggunakan kependekan seperti "yg", "x", "tp", "nk", "u", "jk" dan seangkatan dengannya. Sungguh saya serabut melihat "x" digunakan sebagai lambang penafian. Melambangkan betapa pemalasnya anda.

5) Penggunaan warna yang berbeza.
Seperti fungsi huruf tebal, penggunaan warna yang berbeza bagi menghasilkan kontra hendaklah digunakan pada tempat yang perlu bagi menekankan satu-satu perkataan.

6) Penggunaan font.
Font yang digunakan seharusnya tidak berubah-ubah secara drastik tanpa keperluan.
Begitu juga dengan saiz.


Saya bukanlah pembaca tegar blog Ustaz Hasrizal. Tapi kekemasan yang dijaga Ustaz Hasrizal dalam cara penaipan beliau sangat mengujakan saya dan cukup untuk membuatkan saya menghormati beliau. Saya percaya, itulah antara kunci kejayaan blog beliau.

Sila baca kupasan beliau yang sangat tepat tentang penggunaan bahasa yang bukan lagi bahasa itu.


______________________________________________________________
Di bawah ini adalah repekan semata.

Sila rujuk di sini untuk ulasan saya tentang penggunaan bahasa yang cantik.

Saya bukanlah seorang yang mahir dalam bahasa. Jauh sekalilah mencapai tahap ahli bahasa. Namun begitu, saya sering kali digelar sebagai "Pakar Bahasa" oleh rakan-rakan dan sering juga dinobatkan sebagai "otak sastera". Berikutan tulisan saya dalam risalah terbitan BPI PERUBATAN baru-baru ini yang dikatakan menggunakan Bahasa yang agak tinggi, para senior juga sudah mula melihat saya sebagai "ahli bahasa". Ya, "ahli bahasa" bukan istilahnya, tapi saya tidak tahu apa istilah yang sesuai.

Saya tertarik dengan pendekatan PTS Publication yang menekankan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dalam buku-buku terbitan mereka. Bahasa Melayu Tinggi benar-benar menaikkan imej Bahasa Melayu dan penutur serta penggunanya sendiri. Bandingkan sahaja dengan lambakan novel-novel di pasaran sekarang yang menggunakan Bahasa yang sangat rendah mutunya.

Apa yang saya mahu tekankan di sini adalah penggunaan Bahasa yang baik yang boleh menjaga imej dan standard maklumat yang kita persembahkan.

Untuk menulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, saya rasakan agak sukar buat saya. Mungkin kerana persekitaran yang menggunakan Bahasa Rojak serta kurangnya bahan bacaan dalam Bahasa Melayu Tinggi memburukkan lagi penguasaan saya dalam Bahasa.

Yang menjadi persoalan, tahap bahasa saya yang sebegitu teruk sudah dipandang orang-orang sebagai baik. Maka, yang langsung tidak menjaga harus dikategorikan apa?

Tuesday, February 23

Masjid Sultanahmet


p/s: Dalam entri ini, saya akan cuba menceritakan maklumat yang saya dapat melalui ziarah saya tanpa merujuk kepada mana-mana sumber. :)

Masjid Sultan Ahmed, atau dalam Bahasa Turki Sultanahmet. Nama ini mungkin agak asing bagi kita. Tapi berbeza kalau saya sebutkan Masjid Biru atau Bahasa Inggerisnya, Blue Mosque. Pasti ramai yang tahu dan membayangkan sebuah masjid yang cukup besar yang menjadi sumber idea konsep reka cipta masjid lain di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia, lihat sahaja Masjid Wilayah Persekutuan.

Senibina Masjid yang mempunyai kubah berbentuk dome dikatakan berasal dari Turki. Di Turki, semua masjid yang dibina mempunyai ciri reka bentuk yang hampir sama, yang membezakan cumalah saiz masjid tersebut.

Secara asasnya, binaan Masjid di Turki mempunyai kubah yang berbentuk dome dan tiang-tiang yang disebut sebagai minaret (saya tak tahu Bahasa Melayunya apa). Masjid juga mempunyai satu ruang legar tidak berbumbung di tengah-tengahnya.


Ruang legar tidak berbumbung berbentuk empat segi yang dikelilingi bangunan berbumbung yang bahagian hadapannya digunakan untuk solat. Bahagian sisi memuatkan pelbagai ruang termasuklah madrasah. (Binaan tipikal masjid di Turki)

Seperti yang kita maklum, dari sudut architecture, Masjid Biru yang dibina pada zaman pemerintahan Khalifah ke-14 kerajaan Turki Uthmaniyah ini mempunyai sistem pencahayaan langsung yang boleh memantulkan cahaya daripada matahari pada siang harinya, dan cahaya bulan pada malam hari. Untuk maklumat lanjut sila ke laman wikipedia.

Masjid Biru mempunyai 6 minaret yang menjadi lambang kepada 6 rukun iman.

Sebagai simbol kepada waktu pemerintahan baginda, masjid ini dibina dengan mempunyai 14 pintu.

Masjid ini dipanggil masjid Biru kerana porcelain yang digunakan pada tingkapnya berwarna biru.

Secara zahirnya, masjid ini mempunyai satu kubah utama di tengah-tengah, dan dikelilingi beberapa kubah separa hemisfera di sekelilingnya. Dengan itu, dari luar kita dapat melihat beberapa dome yang bertindan-bertindan. Kubah-kubah ini disokong dari dalam dengan empat batang tiang yang sangat besar yang dipanggil sebagai "kaki gajah". Empat tiang ini menjadi signifikasi kepada semua perkara yang mempunyai bilangan empat di dalam Islam. Empat khalifah, empat mazhab, empat anggota wudhu' dan pelbagai lagi yang empat. Pada setiap tiang itu tertera nama 4 Khulafa Ar-Rasyidin.

Menurut abang kepada Bushra, empat nama khalifah itu dari sudut arkitek nya, menjadi tunjang kepada Masjid Sultanahmet. Pada zaman kebangkitan Islam, sebuah gereja yang dikenali dengan nama Hagia Sofya telah ditukarkan kepada masjid apabila Sultan yang memerintah tertarik dengan reka bentuk gereja tersebut. Signifikannya, sekiranya suatu hari Islam di Turki jatuh dan ada sesiapa yang cuba menukar Masjid ini kepada gereja, maka mereka perlu membuang nama Khalifah tersebut dan ini akan mengakibatkan masjid itu runtuh.

Dari dalam, setiap dom dan semi-dome itu dihiasi dengan ayat Quran. Pada dom utama, tertera ayat ke 35 dan 36 dari Surah An-Nur yang bermaksud:

[35]
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[36]
(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

Pada tengah-tengah dom utama itu pula dinukilkan ayat ke-41 dari surah Al-Fathir yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Melihat kami bersungguh-sungguh cuba membaca tulisan-tulisan tersebut, seorang petugas wanita di masjid itu menghampiri kami. Kerana tidak faham apa yang diperkatakan beliau, akhirnya saya meminta Bushra datang. Setelah itu, lebih banyak yang beliau ceritakan kepada kami.

Menurut beliau, beberapa ayat Al-Quran yang ditulis pada dom-dom di sekitar dom utama masih belum boleh dikenalpasti kerana teknik penulisannya yang mencampurkan beberapa potongan dari ayat-ayat dan surah-surah yang berbeza.

Dari segi pengawalan suhu, bumi Turki yang terdedah kepada cuaca empat musim memerlukan rekaan bangunan selesa untuk didiami pada setiap keadaan cuaca. Sama juga dengan Istana Dolmabahce, di bawah Masjid ini ada satu ruang yang membolehkan air dimasak ketika musim sejuk dan habanya akan disalurkan untuk memanaskan ruang keseluruhan masjid. Pada musim panas pula, ais akan diletakkan bagi menurunkan suhu.

Bumi Turki yang terdedah kepada gempa bumi memerlukan satu reka bentuk yang dapat menahan gegaran itu. Pada awalnya, hasrat Sultan untuk membina masjid ini dianggap mustahil oleh penduduk setempat kerana keadaan geografi muka bumi yang sangat tidak strategik untuk satu struktur pembinaan bangunan yang besar. Namun, Sultan dikatakan mendapat ilham melalui mimpi bahawa masjid itu akan selamat dari bencana. Akhirnya, satu lubang disediakan di bawah masjid itu. Tujuannya, mengumpulkan tekanan akibat gempa dan disalurkan untuk dibebaskan di luar masjid, bukan di dalam masjid justeru memastikan ketahanan binaan struktur masjid.

Mimpi Sultan bukan sebarang mimpi. Kerana Sultan tersebut merupakan seorang ulama'. Selain itu, Sultan Ahmed juga merupakan seorang anak seni. Pada dinding masjid, terdapat satu syair tenunan dalam tulisan khat Uthmaniyah yang ditenun sultan yang secara kasarnya bermaksud:

I have my crown
But what would I need with the crown
I need you as my crown
To take it with me
You're the Lord of the Prophet
You're the rose
We're the rose criers
You're the khadam - the highest
Ahmed don't stop walking
The best thing you can ever become
Is the dust under his feet
My name is Ahmed (1 name)
And your name is Ahmed Muhammed Mustafa Mahmud (4 names)
So you're the real Ahmed (paling terpuji)

Ketika mendegarkan bait-bait syair ini, hati terselit rasa kagum akan betapa merendah dirinya Sultan tersebut. Menginsafi hakikat kehambaan.

Pada ruang di bahagian kanan, terdapat satu kawasan bagi Bilal. Di situ terdapat bendera negara Habsyah yang membuktikan Bilal dari Habsyah pernah diambil bertugas sebagai Muazzin.

Apa yang menyenangkan hati saya, walau masjid ini saban waktu dipenuhi pengunjung, namun fungsi utamanya sebagai tempat ibadah tidak hilang. Hanya 1/3 kawasan belakang sahaja yang dibuka kepada pengunjung dan 2/3 kawasan di hadapan digunakan jemaah untuk beribadah seperti biasa. Dan masjid di Turki, sering sahaja dipenuhi jemaah pada setiap waktu solat.

Saya memilih untuk menceritakan Masjid ini kerana kekaguman yang dirasai setelah mendengar sendiri dari mulut pegawai tersebut.

















Thursday, February 11

Ibrah Musafir perlu Berempat

Alhamdulillah semalam telah selamat tiba ke rumah setelah tersadai menunggu flight di Ataturk Aiport (TAV) sedari jam 11 pagi akibat salah faham waktu membeli tiket. Suhaila dan Bushra terlebih dahulu pulang pada jam 12.30 p.m.. Penerbangan saya dan Aisyah pada jam 7 malam.
Tersadai di lapangan terbang itu, dan bergilir-gilir menjaga barang sewaktu bersolat cukup menyedarkan kepentingan musafir beramai-ramai, terutamanya bagi perempuan.

Keadaan yang sama juga diperhatikan sewaktu bergerak di sekitar Istanbul. Bila kami hanya bertiga, sangat sukar untuk memilih siapa yang boleh bergerak berseorangan dan siapa yang harus sentiasa berdua.

Tiga anak Kelantan (kerana mereka sering menyebut PakisTAN, dan TAN yang lainnya) di Benua Eropah.
Di seberang sana Benua Asia. Jambatan Bosphorus menghubungkan dua benua.


Dalam perjalanan pulang juga begitu. Tambahan lagi saya hanya berdua bersama Aisyah. Tiba di Cairo, kami menghubungi Izzah bagi memastikan ada musyrif yang akan datang. Sebelum pulang lagi kami telah berpesan supaya dicarikan musyrif memandangkan kami akan tiba pada waktu malam. Setelah dipastikan ada musyrif, tepat jam 10 kami siap menunggu di Balai Ketibaan.

Melihat jam hampir ke angka 12, kami mengambil keputusan untuk mengambil teksi dan pulang sendiri. Kalau ditunggu lagi, makin lewat makin bahaya. Keluar sahaja dari lapangan terbang, pemandu-pemandu teksi terus menawarkan khidmat dengan berbahasa Inggeris. LE 110 untuk balik ke Mouniera. Membalas dalam Bahasa Arab, persetujuan akhir, LE 60 dicapai. Tiba-tiba ada perasaan tidak sedap hati dan takut yang menyelinap. Hilang segenap keberanian dan keyakinan sebelumnya. Setelah menolak tawaran pemandu teksi yang pertama, ada pemandu teksi lain yang datang menawarkan khidmat. Aisyah memberitahu kami mahukan teksi bermeter. Dia katakan teksinya bermeter. Terus ditolak troli kami. Saya berterusan menolak tawarannya sehinggalah LE 50 ditawarkan.

Terlintas gambaran wajah Ummi di fikiran. Kalaulah Ummi tahu, saya pulang berdua dengan menaiki teksi pada jam 12 tengah malam, dari lapangan terbang ke rumah yang mengambil masa hampir sejam. Sedangkan sewaktu di Kelantan, saya tidak pernah menaiki teksi sendirian kerana Ummi telah melarang sedari awal. Kerana itu saya terpaksa menunggu bas walau berjam. Di Malaysia pun takut, apatah lagi di Mesir yang terkenal dengan tahap keselamatan pelajar Malaysia yang tidak terjamin. Serentak itu saya kembali menghubungi Izzah, meminta dicarikan musyrif lain. Kalau tidak, mungkin bermalam di lapangan terbang adalah pilihan terbaik.

Melangkah kembali ke dalam ruang legar, kami melihat dua orang pelajar lelaki Malaysia. Seorang daripada mereka telah lama berada di situ menunggu ketibaan rakannya. Lantas kami bertanya sekiranya mereka ada cadangan atau mana tahu kemungkinan mereka juga menuju ke Munira.

Syukur kerana rupa-rupanya mereka telah meminta khidmat kereta seorang Ustaz untuk pulang ke Sabie dan mereka menawarkan kami supaya ikut bersama. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dan kami selamat sampai ke rumah dihantar Ustaz tersebut. Rupa-rupanya musyrif tadi tersilap terminal dan hanya menyedarinya pada jam 12 malam. Telefonnya pula kehabisan bateri.

Ibrahnya di sini, perjalanan dalam kuantiti yang ramai, sekurang-kurangnya empat orang itu sangat penting bagi wanita khususnya. Sejurus menceritakan kisah semalam kepada Ummi, terus Ummi katakan: "Ini yang Ummi bimbang kalau pergi berjalan." Satu das tembakan hinggap di dahi. Terlebih berani yang mungkin membawa padah. Hampir tergadai semua pesanan Ummi dan Abi.

Ini hanya satu contoh situasi secara ringkas. Kalau diikutkan banyak keadaan yang menjadikan saya sentiasa terfikirkan hikmah di sebalik penetapan sekurang-kurangnya 4 orang wanita yang boleh dipercayai dalam safar mar'ah.

InsyaALLAH saya akan cuba mencatatkan perjalanan kami di Turkiye. Kalau tidak dicatat, mahu semuanya hilang begitu sahaja ditelan masa.

Wednesday, February 3

Habis Exam. Turki

~Blog ini sekarang dipenuhi cerita peribadi kerana minda kurang input ilmiah~

Hari ini exam dah tamat. Alhamdulillah ala kulli hal.
Konklusi: Sila belajar dengan lebih rajin dan berterusan. Huh. Nama je ambik medic tapi liat nak study. Sedangkan dulu kalau dengar seseorang tu ambik medic, "Oh, medic. Mesti nerd, rajin study. 24 jam. Takde masa untuk aktiviti mengarut lain." Hakikatnya benar untuk orang lain. Bila kena kat diri sendiri. Huh~

Esok insyaALLAH akan berterbangan ke Turki. Maklumat awal, Turki sekarang -15 darjah celcius. Beku ler..

Maaf kepada kawan-kawan sebab tak sempat nak bagitahu korang. :D ~kan dah kena ketuk ngan Hamizah dan Norbahiran~

Tiket baru dibeli semalam. Pergi bersama Bushra, rakan sekelas dari Turki, merangkap satu-satunya rakyat Turki di Universiti Kaherah, Aisyah Zahirah dan Suhaila Ismail (cukup-cukup syarat 4 orang..haha).

Doakan perjalanan kami selamat.

Eh, kan saya janji nak jadi baik lepas exam. Erk.

Tuesday, January 5

Ignorant

Akhir-akhir ini kerap guna perkataan itu.
Ya, sejak memberitahu seorang teman tentang sikapnya yang ignorant.
Ignorant, bukan ignorance. Bezanya? Rujuk kamus.
Semasa menggunakannya, saya tidak merujuk kamus pun. Hanya menerbitkan masdar kepada ignore. Haha.

Seorang teman cuba memperbaik diri dari sikap ignorant yang berlebihan.
Seorang yang lain pula berbangga dengan kualiti ignorant yang ada padanya.
Sungguh lah mereka manusia.

Semalam, ada pergaduhan di tepi rumah. Lebih tepat, di tepi Masjid Bustan. Tidak dapat memastikan apa yang berlaku, cuma yang kedengaran hanyalah bunyi yang terlampau bising, bunyi tendang menendang dan tempikan. Salakan anjing terus-terusan menambah gamat. Yang kelihatan hanyalah bayang-bayang orang-orang yang bertolak-tolakan. Yang jelas, konsentrasi study terganggu sama sekali.

Pergaduhan berlaku hampir dua malam. Dua kali dalam semalaman. Semalam kemuncaknya, pergaduhan yang ke-5. Dari tingkap rumah, yang dapat kami lihat selepas siri ke ke-5 adalah 5 orang Arab dalam lingkungan usia 30-an membaling botol-botol kaca dan batu bata dari sutuh imarah bersebelahan masjid. Mereka naik ke atas seorang demi seorang. Yang memisahkan imarah kami dan imarah itu hanyalah masjid kecil dan lorong. Mahu merakamkan, tidak berani. Takut ada yang terlihat cahaya kamera.

Setelah yang berada di bawah bersurai kerana barang yang dibaling, mereka kekal di atas. Menghimpunkan barang-barang yang boleh dibaling di sekeliling tembok sutuh yang cuma setinggi satu lapisan bata. Kemudian, kelihatan yang di atas seakan-akan berlatih pergerakan menggunakan kayu. Berlatih untuk berlawan barang kali. Badan mereka bukan biasa-biasa. Tegap dan sasa. Sesuai sangat untuk sebarang aksi ngeri.

Apa punca pergaduhan, tidaklah kami ketahui. Pastinya agak besar kerana membabitkan orang dewasa. Jiran-jiran di sekeliling hanya memerhati dari beranda masing-masing.

Pagi tadi, lorong kecil itu dipenuhi pecahan-pecahan kaca. Tapi keadaan masih kami rasakan seperti biasa.

Bayangkan keadaan ini berlaku di Malaysia. Hoho.. Pasti semua terlibat sekali. Tapi tidak di Mesir. Tiada polis yang dipanggil. Ini bandar Kaherah, walaupun di ceruk Kampung Munira.

Teringat waktu di Tahun 1. Jiran sebelah bergaduh suami isteri seakan ada yang akan mati. Uh, suami isterikah mereka? Atau anak lelaki dan kakaknya? Atau ibu dan anak perempuan vs anak lelaki? Tidaklah kami pasti. Yang pasti, anak-anak kecil yang ada menangis dan menjerit bagai ada episod kematian bakal terjadi. Si ibu berteriak memanggil bawwab dalam tangisan.

Saya yang tersedar dari tidur, menikus cuma. Masih mamai. Mimpi ngerikah atau realiti? Setelah pasti itu benar terjadi, diam juga yang dipilih. Mengintai juga tidak berani. Esoknya, segalanya seakan tiada apa yang terjadi.

Itulah Mesir. Bergaduh bagai pembunuhan bakal terjadi, dan kesannya surut dalam jangka.

Persoalannya, cukup ignorant kah kita dengan keadaan sekeliling? Nilai kejiranan tiada sama sekali. Sedangkan hak sesama jiran Muslim tidak pernah terlepas dari taklifan. Hurm, ini yang ditanggung bila jiran berbeza bangsa walau persamaan agama itu lebih harus diambil kira.

Seakan-akan dunia kita hanya sesama bangsa. Ini yang lebih wajar dipanggil assabiyah, bukan? Hanya menjaga kepentingan sesama rakan senegara kita.

Tinggallah persoalan ini di sini, saya juga gagal dalam membawanya kepada tindakan. Kesedaran tinggal pada tulisan. Alhamdulillah ada Aisyah yang suka bertukar juadah dengan jiran. Merealisasikan pertanyaan yang saya sendiri kemukakan tanpa pelaksanaan.