Pages

Sunday, October 11

Jangan kerana Kerbau Seekor, Habis Semua Terpalit Lumpurnya

Setiap hari Ahad, kuliah tamat jam 2 petang, memberi kami ruang untuk keluar menyelesaikan keperluan. Kami bersepakat untuk ke Bab El-Khulq, hampir dengan Atabah untuk mencari meja tulis, katil dan rak buku. Aisyah dan Nadie pula memilih untuk membeli peralatan elektrik.

Rupa-rupanya, pada hari Ahad kebanyakan kedai tutup. Tak cukup lagi pengalaman setahun di sini, ingatkan kedai hanya ditutup pada hari Jumaat dan Sabtu. Mahu mendapatkan teksi juga sangat susah.


Humairah, Izzah dan Badriyyah

Ketika kami melilau-lilau di situ, ada seorang Pak Cik Arab menawarkan bantuan. Dia bertanya kami bercakap Bahasa Inggeris atau Arab, dan tentunya, saya memilih Bahasa Inggeris. Lantas beliau memberitahu kedai-kedai perabot tutup pada hari Ahad. Beliau kemudian menanyakan rakannya sama ada terdapat kedai perabot yang buka pada hari ini. Kawannya memetakan satu kedai.

Pak Cik itu tampak soleh. Air mukanya kelihatan bersih. Beliau bertanya kami dari mana dan mendoakan supaya kami akan menjadi Perwira Islam. Beliau meminta kami mengikutnya ke kedai yang dimaksudkan. Dalam perjalanan, beliau menceritakan tentang tiga orang anaknya, semuanya telah berjaya. Beliau juga menunjukkan gambar cucunya melalui telefon bimbit.

Beberapa kali langkah kami mula perlahan bila memasuki lorong-lorong yang agak kecil. Waspada mesti sentiasa ada. Setiap kali itulah beliau akan memandang ke belakang dan memberitahu kami supaya jangan bimbang dan menganggapnya seperti ayah.

Kedua-dua kedai yang ditunjukkan juga tutup. Ketika itu, azan Asar berkumandang. Beliau bertanya kami mahu ke mana. Kalau mahu terus mencari, beliau mencadangkan kami agar solat terlebih dahulu, dan kemudian beliau akan terus menemani kami. Kami memilih untuk pulang supaya tidak menyusahkan beliau. Setelah mengetahui kami ingin pulang ke Mouniera, beliau membawa kami ke jalan yang sepatutnya untuk mendapatkan teksi, dan memberitahu tambang yang wajar. Kalau tidak, pasti di situ juga akan kami tahan teksi. Beliau juga berjanji akan terus menolong kami keesokan hari jika kami datang lagi, hanya kerana ALLAH.



Aisyah dan Nadie

Mereka berjaya mendapatkan teksi ke Atabah, setelah hampir sejam menunggu. Pemandu itu boleh bercakap fusha. Satu kelegaan kerana lebih mudah difahami. Beliau memberitahu kedai di Atabah tutup pada hari Ahad. Mereka dicadangkan untuk ke Giza. Di Giza, mereka gagal mendapatkan barang yang dikehendaki. Pemandu tadi menunggu mereka sambil bersolat Asar.

Mungkin rasa bersalah melihatkan mereka gagal mendapatkan barang yang dikehendaki, pemandu tadi membawa mereka ke kedai di Manial. Kali ini, beliau naik bersama Aisyah dan meminta Nadie menunggu di luar teksi.

Akhirnya, Aisyah berjaya mendapatkan barangan yang dikehendaki, dan selamat dihantar pulang.



Pengajaran

Kebelakangan ini, kami sering tidak puas hati dan agak sukar untuk berbaik sangka dengan Masyarakat Arab. Bukan itu sahaja, seringkali jika rasa agak marah, saya sering menasabkan perbuatan buruk itu kepada "Arab".

Sedangkan Arab merujuk kepada bangsa secara keseluruhan. Tidak adil, kerana nila setitik, habis susu sebelanga.

Saya katakan kepada rakan-rakan, mungkin ini petunjuk ALLAH kepada kita, kerana sukar untuk berbaik sangka dengan masyarakat Arab. Tarbiah ALLAH, adalah yang terbaik.

2 comments:

  1. salam maira...
    bile baca post2 awk about ur life,
    rse nk je terbang ke Mesir jgak..
    huhu..tp bile la sy dpt pijak tanah gersang itu..
    uhuk...

    ReplyDelete
  2. Kerbau kerbau ni, tandanya raya haji dah hampir nih... hee

    ReplyDelete

Saya telah menulis, kini giliran kamu. Pandangan dan perkongsian kalian amat saya hargai. ^_^