Kaku rasanya jemari ini untuk terus mengukir bait di laman ini. Mahu beralasankan sibuk, rasa seperti menipu diri.
Kali ini
Mesir bergolak lagi. Tuntutan mereka, supaya Pemerintahan Tentera yang pernah berjanji akan menyerahkan mandat kembali kepada rakyat (baca: pilihanraya) paling lewat pun dalam masa 6 bulan setelah kejatuhan Mubarak ditunaikan. Keadaan politik semasa yang masih juga belum stabil (berimpikan untuk kembali stabil dalam jangka masa 2-3 tahun adalah terlalu idealistik) menjadikan kami lebih berhati-hati.
Namun, pengalaman revolusi 25 Januari, banyak mengajar kami dan rakyat Mesir sendiri, untuk kekal bertenang. Tiada lagi kekalutan dan
perebutan bagi membeli bekalan makanan, khabar-khabar angin yang laju bertiup juga tidak mampu menggugah kami.
Mengimbau 25 Januari, kami ketika itu dalam musim peperiksaan. Pada 26 Jan, kami ke kampus untuk menduduki peperiksaan pertengahan tahun.
Apa yang dapat diperhatikan, rakyat Mesir dan pentadbiran Universiti khususnya, seolah-olah tidak terjejas dengan situasi ini. Bayangkan kalau hal sebegini berlaku di Malaysia. Pastilah cuti segera diumumkan, peperiksaan ditunda. Lihat sahaja tatkala berlaku banjir, pelbagai persiapan diatur.
Dalam keadaan serba-tidak-boleh diagak ini, rakyat Malaysia kelihatannya terlebih berani pula. Khususnya para mahasiswa dan mahasiswa perubatan di Universiti saya. Kami ke Bangunan Mugamma di Medan Tahrir, tatkala pelbagai berita buruk dan angka kematian dilaporkan.
Pagi hari Khamis, saya ke Tahrir untuk urusan visa. Keadannya seperti biasa, orang ramai. Namun kerana sedikit masalah pada surat dari universiti, saya perlu kembali ke universiti dan datang ke Mugamma itu semula pada Ahad (20 Nov 2011).
Info dari gambar:
- Mugamma terletak dalam petak biru (kawasan demo)
- Kes kematian dan keganasan hanya berlaku di Jalan Muhammad Mahmud (keadaan ini membuatkan pergerakan ke Mugamma relatively selamat)
* Rujuk link ini (klik) untuk kedudukan kami dari Medan Tahrir. * Skrol ke bawah dan cari El-Naggar berhampiran Bostan El-Fadel untuk bangunan rumah saya :D.
* Jalan Kasr Al-Aini adalah jalan utama yang kami gunakan setiap hari untuk ke kelas. Jarak berjalan kaki dari rumah kami ke Tahrir hanya sekitar 15-20 minit.
Sempat jugalah saya merasakan kesan tear gas yang digunakan pada Sabtu malam. Keluar sahaja dari Metro (keretapi bawah tanah (label M dalam gambar), berjalan beberapa langkah sebelum mendaki tangga ke mugamma, mata saya mula berair. Hidung mula gatal (irritated). Maryam yang menemani tidak pula terkesan. Katanya mungkin kerana cermin mata yang dipakai. Lekas-lekas saya keluarkan cermin mata dari dalam beg, dan sapu tangan. Segera hidung dan mulut ditutup.
Orang ramai kelihatannya menggunakan tisu untuk menutup hidung mereka.
Urusan kami selesai awal. Tidak seperti biasa, sangat sedikit orang yang berurusan di Mugamma Tahrir. Pintu Mugamma juga dibuka sekadarnya sahaja.
Bergambar, dan Teguran
Keluar sahaja kami dari Mugamma, saya merakam gambar Maryam. Saya tersenyum. Bertentangan dengan saya, ada wanita tua. Tegurannya bakal kami ingat sampai bila-bila.
"Mabsuteen? Bitasowwareen??!!
(Kamu gembira? Masih boleh bergambar?)
Bayangkan perasaan mereka. Warga Mesir. Pastilah mereka berduka cita dengan apa yang sedang mereka alami.
Saya kemudian bergerak sedikit ke hadapan. Mahu mengambil lebih gambar. Ketika gambar saya sedang dirakam, saat itulah kelihatan orang ramai di jalan seberang (Mereka dari Jalan Muhammad Mahmud). Huh, kecut perut juga. Segera kami melajukan langkah masuk ke stesen keretapi bawah tanah semula. Bimbang kiranya berlaku rempuhan saja ~
Akhawat dan Keberanian
Di kala angka kematian dilaporkan semakin meningkat dan
jenis gas pemedih mata yang digunakan dipersoal, mahasiswa/i perubatan dari kampus saya kelihatannya tidak terjejas. Mereka sungguh nekad untuk ke Tahrir, membuat urusan berkaitan visa. Tiba-tiba saya terkagum sendiri.
Mereka pergi pada pagi Isnin, Selasa, Rabu malahan Khamis. WHATT? Khamis?? Ya, percayalah. Saya sendiri geleng kepala. Mak cik di Mugamma sejak dari Isnin lagi sudah bertanya, "Bagaimana kamu boleh sampai ke sini?"
Moga-moga inilah wajahnya yang akan kental di barisan hadapan mempertahankan Islam, sukarelawan di kala tenaga pakar perubatan diperlukan. :)
25 Januari, Jumaat Selamatkan Al-Aqsa
Semalam, Islamtoday.net menyiarkan
seruan Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, mengajak ummat Islam berhimpun di Masjid Al-Azhar, demi Al-Aqsa. Ini bagi menunjukkan, walaupun dunia Arab sedang bergolak, namun Al-Aqsa tidak sesekali dilupakan.
Sebelum waktu Solat Jumaat, saya bergerak ke Masjid Al-Azhar untuk menyertai Himpunan ini. Bagi saya, ini isu ummah. Walaupun ada amaran yang dikeluarkan pihak berautoriti menyarankan pelajar kekal di rumah selepas solat Jumaat, dan rakan-rakan yang menghalang, kerana dijangkakan ada himpunan besar-besaran di Tahrir, entah kenapa dalam hati ada keberanian yang datang entah dari mana.
Nekad, menyuarakan keinginan melihat Al-Aqsa kembali dimiliki, bukan sewajarnya dengan kata-kata manis sahaja. Keberanian ummat Islam perlu diiklankan. Keinginan perlu dijaharkan dengan tindakan. Cukuplah ujian keselamatan yang kecil ini menjadi tanda aras, sejauh mana kita akan berani berkorban nyawa mempertahankan Al-Aqsa, kiranya benar mahu Aqsa kembali di tangan Muslimin.
Kalau ke Tahrir untuk urusan peribadi berani bukan main, kenapa tidak ke Masjid Al-Azhar untuk urusan ummah? *wink wink*
(Klik gambar untuk tumbesaran)
Khatib Jumaat tadi mengingatkan tafsir kepada Surah Al-Israa, Ayat 1:
“Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.”
Mesir juga berada di sekitar Al-Aqsa :)
Ketika diumumkan akan ada ucapan dari wakil Ikhwan Muslimin, hati saya bergetar. "Wah, mereka sudah menonjolkan diri sekarang!"
Kejutan kedua diterima lagi dengan ucapan dari wakil Hamas.
Mengapa pergolakan Mesir menjadi perhatian?
Kerana Mesir adalah simbolik buat keutuhan Bangsa Arab sendiri. Al-Azhar Asy-Syarif sendiri, merupakan paksi bagi kegemilangan ummat Islam.
Menyingkapi sejarah tamadun Islam, Bumi Mesir menjadi saksi jatuh bangun (bangun yang berulang) bagi kegemilangan Islam.
Tok Kenali, diceritakan pernah datang ke Mesir dan tidak memakai kasut. Kerana mahu memijak bekas-bekas tapak kaki para ulama dan syuhada.
Israel pula, diberitakan sudah mula
berura-ura untuk mengambil kembali
Sinai (diperoleh Mesir dalam
perang Mesir-Israel 1973, membawa kepada pembunuhan Anwar Sadat akibat menerima janji manis Israel, menandatangani perjanjian damai walhal tentera Mesir mampu terus melawan Israel dan menakluk kembali Palestin) sekiranya Ikhwanul Muslimin berjaya mengambil alih kuasa politik di Mesir.
Semangat Orang Muda, Pengalaman Orang Lama
Kisah Revolusi Mesir turut memaparkan perbezaan pendapat oleh Sayap Pemudah Ikhwan Muslimin dan Golongan Veterannya. Sejak Revolusi 25 Jan, para pemerhati dan pencinta gerakan Islam paling berpengaruh ini, mula melihat bibit-bibit isu wala' yang timbul.
Pada kali ini juga,
kisah sama berulang. Oh, Al-Ahram Online ini kira-kiranya lebih kurang Berita Hairan dan Utusan Melayu di Malaysia, baca boleh, percaya separuh-separuh sudah. :)
Menariknya, mereka tetap percaya bahawa Doktor-doktor yang berada di situ adalah anggota IM. Tindakan mempertikai keputusan IM yang tidak menyertai demonstrasi pula saya lihat adalah terlampau obses.
Salafi yang bertanding atas nama Hizb Al-Nur pula bertindak mengarahkan demonstrator tidak ke Jalan Muhammad Mahmud, bagi mengelakkan berlaku kemalangan jiwa.
Secara mudahnya, episod-episod ini menunjukkan dua Jemaah Islam ini (Salafi melalui Hizbul Nur dan Ikhwan Muslimin melalui Hizbul Al-Hurriyyah wa Al-adalah) menguasai masyarakat Mesir sekarang.
Iktibar
Apa yang berlaku di Mesir, menggambarkan sukarnya menghapuskan kezaliman yang telah dibiar bertapak sekian lama. Bak kata seorang teman, bila sudah ketumbuhan menjadi kanser malignan, walaupun dibuang, kesannya masih tinggal dan akan terus tumbuh tanpa kawalan di organ-organ lain pula (metastases).
Jangan sampai hilang suara, jangan beri ruang untuk kezaliman bertapak di Malaysia. Ubah sebelum terlambat, daftarlah sebagai pemilih dan turunlah mengundi. :)
Bersama bergerak menegakkan kerajaan Islam di Malaysia, seiring dengan usaha gerakan-gerakan Islam lain di seluruh dunia, IM, Hamas, An-Nahdhah, AKP Turki dan saudara-saudara kita yang lain, supaya akhirnya Khilafah Islamiah tertegak kembali. :)
.:Salam Maal Hijrah:.