Pages

Wednesday, February 9

Of(f) Egypt Revolution

Alhamdulillah, sudah selamat tiba di rumah. Satu pengalaman perjalanan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, mahupun diada-adakan. Satu tarbiah seakan tamrin yang bukan di bawah perancangan manusia. Oho!

Ujian ini benar-benar membawa diri mengenal hakikat tawakal. Kembali menghayati "Human's Territory, God's Territory". Kita boleh merancang, tapi yang menentukan bukan kita.

Kisah Bermula

Bermula dengan episod perarakan pada 25 Januari, sehari sebelum kertas peperiksaan akhir pada 26 hb, keadaan sudah dilaporkan agak gawat. Keesokannya, keadaan makin bertambah hangat, dengan beberapa siri perarakan diadakan. Pada hari Jumaat, 28 Feb, perkumpulan dan demonstrasi besar-besaran telah diadakan sebaik sahaja selesai solat Jumaat. Hebatnya mereka, menggunakan waktu solat untuk mengumpulkan orang-orang yang akan terlibat bagi menuntut keadilan. Sememangnya fungsi solat Jumaat untuk menghimpukan ummat terlihat di sini (sama dengan demonstrasi di Malaysia bukan?).

Sementalah kami pula, sebaik sahaja habis peperiksaan, mulalah bergerak dan mengatur gerak kerja untuk aktiviti melancong sempena cuti musim sejuk dan juga persiapan bagi program-program PERUBATAN. Mesyuarat demi mesyuarat.

Zaman Gua

Pada masa yang sama, perintah berkurung telah dikenakan. Dan maklumat tidak sampai kepada kami. Bayangkan sahaja, sempena perhimpunan pada hari Jumaat itu, laman Twitter dan FB telah disekat, dan berakhir dengan perkhidmatan internet diputuskan sepenuhnya bermula hari Khamis. Pada pagi Jumaat, perkhidmatan sms mula disekat, dan diikuti dengan talian telefon, menjadikan kami kembali ke zaman "gua", dengan masing-masing hanya berkurung dalam rumah.

Kisah Jumaat

Cerita yang berlaku pada hari Jumaat itu sangat menarik. Lagi menarik buat sahabat-sahabat yang tinggal di imarah berdekatan Masjid Sayyeda Zainab, yang sempat menikmati gas pemedih mata, melihat bom petrol dibaling, menyaksikan bagaimana polis yang galak mengejar dan menembak rakyat akhirnya menaiki kenderaan mereka dan berundur pulang, melihat trak bomba dan balai polis dibakar, dan pelbagai lagi aksi menarik.

Apa yang menarik bagi saya adalah bagaimana mereka boleh menjalankan demonstrasi yang kelihatan terancang dalam keadaan perhubungan adalah terbatas. Bayangkan, dalam keadaan getir itu, sidang demonstrasi lari bertempiaran. Akhirnya mereka masuk semula dalam keadaan tiga kumpulan melalui tiga penjuru yang berasingan.

Begitu juga di kawasan Mouniera, kumpulan-kumpulan demonstrator bergerak di atas jalan-jalan yang berasingan (menuju ke Tahrir) , seolah-olah menyuarakan pendapat sambil mewar-warkan kepada rakyat Mesir yang lain agar ikut turun. Takjub.

Namun, ada juga pemuda-pemuda Mesir yang hanya memilih untuk melihat dari balkoni. Yang hanya melihat dari jauh, malahan langsung tidak melihat dan terus berjalan seperti biasa. Apa keras sangat hati mereka.. Walhal yang turun itu bergadai nyawa, dan kejayaan mereka akan membuatkan si pemerhati dan si tidak kisah turut sama merasa kesenangan di masa depan. It is for their future! Tolonglah jangan jadi pengecut!

Bergerak menggunakan kenderaan pada waktu-waktu getir selepas polis tidak lagi menjalankan tugas menyaksikan trafik dikawal oleh pemuda-pemuda yang terlibat dengan demonstrasi. Hal ini menunjukkan demonstrasi yang dilakukan adalah tersusun dan berjalan lancar dengan kerjamasa yang baik daripada rakyat yang mahukan keadilan dan sanggup berkorban. Walaupun mereka dikatakan mengganggu keamanan Mesir, namun mereka mengambil inisiatif bagi memastikan aktiviti harian tidak tergendala dengan ketara. "Syababuna! Syababuna!" Ujar pak cik teksi melambangkan kekaguman kepada para aktivis yang mengawal lalu lintas.

Kasr El-Aini, Medan Tahrir

Dua nama yang sangat sinonim dengan kehidupan pelajar Malaysia terutamanya di Universiti Kaherah. Syari3 Kasr El-Aini adalah jalan besar menuju ke Tahrir yang kami lintasi untuk ke kuliah. Medan Tahrir pula adalah pusat bandar bagi kami. Urusan Visa dan mendapatkan barangan berkualiti semuanya dilakukan di Tahrir. Tahrir juga menjadi laluan bagi kami yang tinggal di Munira untuk bergerak ke Abbasiah (Dewan Malaysia), Hayyu Asyir dan Hayyu Sabi3.

Syari3 Kasr El-Aini

Akhirnya dua nama ini jadi sejarah dalam Mesir, bukan kerana letaknya Hospital Faransawi, bukan kerana mugamma3 Tahrir (nadi pentadbiran Mesir) dan bukan juga kerana muzium yang menyimpan khazanah ulung itu, tapi kerana menjadi trek dan pusat demonstrasi bagi menjatuhkan pemimpin diktator yang sudah 30 tahun membawa Mesir ke arah kehancuran.

Medan Tahrir berubah wajah

Stok Bekalan Makanan dan Banduan Terlepas

Pagi Sabtu itu, saya dan Izzah bergerak ke imarah. Gara-gara tiada alat untuk berkomunikasi, maka kakilah yang harus bergerak. Antara yang perlu diselesaikan adalah minta dibatalkan trip ke Luxor dan Aswan. Mereka di imarah bersedia dengan packing barangan. Sedangkan saya, merasa amat tidak kena untuk bergantung kepada ustaz yang akan mengetuai rombongan untuk menentukan on atau off trip kami. Ini masanya untuk kita sendiri menyedari keadaan semasa dan membuat keputusan yang relevan! Jujur, agak terasa hati apabila mereka seakan-akan tidak peduli dengan apa yang saya katakan dan hanya membalas: "takpelah, tunggu ustaz cakap macam mana." Marah pun ada. Namun nak buat macam mana, suka hati koranglah. Siapalah saya dibandingkan ustaz itu.

Pada masa itu juga kebetulannya talian telefon mula pulih. Tiba di rumah, kami mendapat arahan untuk menyiapkan stok makanan dan meningkatkan keselamatan rumah memandangkan ada banduan yang telah terlepas atau seperti kata Syeikh Qaradhawi, sengaja dilepaskan.

Pagi Ahad itu, setelah memastikan keadaan di Mohandeseen, kami bergerak ke bank. Kali terakhir mengeluarkan duit adalah sebelum peperiksaan, dalam jumlah yang kecil. Pada waktu itu, kami pihak akhawat dimestikan menggunakan musyrif untuk bergerak ke mana sahaja.

Tiba di bank, cuci-cuci mata lihat kereta kebal, kami dimaklumkan bank ditutup. Kalau begini teruklah! Money Changer juga sudah tidak beroperasi.

Kadang-kadang musykil jugak, kereta kebal ni boleh berfungsi tak?

Kami kemudiannya meneruskan aktiviti membeli stok bekalan makanan. Semenjak 27 hb, rakyat Mesir dilihat berpusu-pusu membeli bekalan makanan. Manakala kedai-kedai pula banyak mula ditutup.

Pada waktu itu ada dua kilo gandum dalam troli kami. Dalam keadaan ramai orang itu, seorang mak cik pula bising-bising bertanyakan pekedai di mana gandum. Rupa-rupanya gandum sudah habis. Melihat keadaan itu saya menghulurkan sekilo gandum. Mak cik itu teragak-agak untuk mengambil dan cuba menolak (namun dengan muka mengharap), setelah kami tetap menyuakan gandum itu, dia mengambilnya dan mendoakan kami.

Malam itu tidur kami kurang lena. Hanya dua bilik yang digunakan. Semua pintu diselak dan dikunci. Pintu beranda yang tidak boleh dikunci dengan baik kami sandarkan dengan kayu dan disekat dengan kerusi. Huh!

Tidur sering terganggu dengan bunyi tempikan. Pada mulanya saya menyangka pemuda Arab yang berkumpul di cabang-cabang lorong sebagai "orang yang marah" memandangkan mereka memegang kayu-kayu dan pisau panjang. Rupa-rupanya mereka adalah pemuda yang bertugas mengawal keselamatan di situ. Merekalah yang mewujudkan check-point.

Kami mengatur perpindahan adik-adik dan rakan-rakan di kawasan yang agak jauh (Manial, Saad Zaghlol, Farm Khaleg) ke kawasan yang ramai pelajar Malaysia. Bilangan kami yang enam berganda jadi 11.

Petangnya, selesai solat Asar, kedengaran bunyi yang sangat kuat. Bagai bergoncang satu rumah. Melangkah ke tingkap, rupa-rupanya ada dua buah jet pejuang. Kalau setakat helikopter, memang dari awal lagi ada dua ke tiga buah helikopter membuat rondaan udara.

Di fikiran terbayang macam-macam. Bimbang campur tangan pihak luar (baca: Israel, AS) yang pasti akan memburukkan keadaan. Khuatir juga kalau si Husni Mubarak hilang akal dan mengeluarkan perintah yang akan melayangkan nyawa rakyatnya.


Arahan Berpindah

Tengahari Isnin, kami mendapat arahan berpindah ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK). Nasib baik bagi kami serumah, kerana telah bersedia dengan beg dan mendapat taklimat awal, maka kami sempat membawa satu beg pakaian ke DMAK. Bekalan makanan ditinggalkan begitu sahaja. Sufia, adik rumah yang sedang sibuk menyiapkan pizza disuruh meninggalkan bahan-bahan itu. Kesian kamu~

Perpindahan perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan waktu berkurung akan bermula lebih awal.

Kami di kawasan Sayyeda Zainab dan sekitarnya (saya di Munira) adalah kumpulan terawal diarahkan berpindah kerana lokasi rumah kami yang berhampiran Tahrir.

Di sekitar Mouniera.. Kawasan Maahad Taawun.. Kalau tak silap la~

Di DMAK pula, ancaman yang dihadapi adalah kekurangan bekalan makanan. Keadaan ini membuatkan pimpinan (DMAK dan PERUBATAN) mencari alternatif lain.

Sejak dari hari pertama di DMAK, para pelajar mula memborong makanan dari koperasi. Saya tidak turut serta kerana sudah punya bekalan snek dari rumah. Kami kemudian turun untuk ke kafe. Berkali-kali pesanan "Cepat, nanti habis!" didengari. Perasaan bercampur baur. Tergerak juga untuk turut membeli. Tapi hati tidak senang. Jawapannya? Kerana, istilah "nanti habis" bermaksud akan ada orang lain yang tidak dapat bekalan dan terdedah kepada lapar. Waktu begini persahabatan juga akan teruji. Sikap sanggup berkorban dan penting diri akan mudah terzahir.

Misi Menyelamat Diri

Keadaan yang getir menyebabkan beberapa rakan disuruh pulang oleh ibu bapa mereka. Saya pula memilih untuk bersama orang lain. Kalau saya katakan mahu pulang, pasti Abi dan Ummi takkan banyak soal dan terus membelikan tiket.

Malamnya, kami diberitahu bahawa kami akan dipindahkan ke Jeddah secara beransur-ansur. Hidup sentiasa dalam penantian. Empat hari menunggu sebelum sampai giliran untuk keluar ke Jeddah.

Pada Jumaat 4 Februari, kumpulan kami dijadualkan bergerak. Sejak pukul 1 pagi, kami disuruh bangun dan bersiap untuk ke lapangan terbang. Kebetulan pula, waktu arahan dikeluarkan, kami sebilik belum tidur. Dipendekkan cerita, akibat proses-proses yang perlu dilalui, kami tiba di Madinatul Hujjaj dan masuk ke bilik penginapan pada pukul 9 malam.

Empat jam di Airport Kaherah, 2 jam atas flight, 5 jam menunggu visa diproses. Satu perjalanan yang takkan terjadi lagi!

Akhirnya, pada 8 Februari, giliran saya untuk balik ke Malaysia tiba. Hati agak panas memandangkan ada pelajar yang tiba lebih lewat dari kami sibuk masuk barisan untuk mendapatkan giliran lebih awal. Visa kami bertarik 1 Rabiul Awal, namun ada juga pelajar yang tiba lebih lewat mendapat peluang untuk pulang lebih awal. Hati cuba juga disejukkan.

"Mereka lebih lama tunggu di airport Kaherah.. Tak selesa.."
"Mereka lagi lama stranded kat DMAK, lagi kesian"

Tapi yang geram bukanlah apa.. Geram sikap pentingkan diri yang tak habis-habis. Malu pun ada kat pegawai-pegawai yang uruskan kami. Terzahirlah perangai sebenar pelajar-pelajar Mesir yang dikagumi ramai. Sekian~


Mahu Kembali Ke Mesir

Cewah. Ayat skema tajuk utama berita. Saya mendoakan moga kemenangan bagi pihak yang benar. Moga rejim Husni Mubarak berjaya dijatuhkan. Kami mahu pulang ke Mesir! :D

Hakikatnya perasaan trauma itu ada. Hal ini saya sedari bila berada di Jeddah. Bunyi helikopter pada malam itu membuatkan saya terbangun dari tidur. Berdebar-debar. "Eh, sini kawasan aman, sudah selamat!" Selepas itu barulah boleh kembali tidur dengan tenang.

Saya juga tidak menyangka sudah boleh untuk tidak peduli kepada bunyi letupan dan tembakan. Mula tidak kisah dengan bunyi jet pejuang. Benarlah kata Allah, yang diuji hanya yang mampu. Mungkin ada hikmahnya apabila ramai pelajar pulang bercuti sempena cuti musim sejuk sebelum berlaku proses perpindahan ke DMAK. Hanya yang terpilih sahaja diberi tarbiah ini kan?

Semoga keadaan ini menjadikan kita lebih kuat, lebih bersedia untuk berkorban dan bersedia untuk berada di barisan hadapan bagi menegakkan keadilan dan membantu yang memerlukan.

We Love Egypt

4 comments:

  1. Satu pengalaman yang cukup mahal....
    "Nak gi mesir etek weh!!!" ^_^

    ReplyDelete
  2. T_T.rindukn mesir.
    moga rakyat mesir beroleh kemenangan.

    k.yana

    ReplyDelete
  3. comeyllah caption kereta kebal tu. hehe...
    thank u 4 ur share maira.

    ReplyDelete
  4. experience yang takleh beli dengan duit..

    ReplyDelete

Saya telah menulis, kini giliran kamu. Pandangan dan perkongsian kalian amat saya hargai. ^_^