Pages

Thursday, March 4

Mari Menaip dengan Kemas

Menaip. Padam. Menaip. Naik atas. Turun bawah. Mencelah di perenggan. Padam. Sungguhlah saya sudah kehilangan fokus.

Straight to the point, tujuan post kali ini adalah untuk membebel tentang penggunaan bahasa yang sangat teruk oleh mereka yang ber"iq" tinggi. (Ya, saya akui bahasa saya di Facebook dan di ruangan komen juga sangat teruk, namun saya masih mampu menjaga bahasa saya di tempat rasmi. Hehe)

Di bawah ini saya senaraikan beberapa tatacara menaip yang perlu diambil perhatian (baca: yang saya ambil perhatian) dalam kerja-kerja menaip yang rasmi. Sesungguhnya tata penaipan yang buruk itu sangat menjengkelkan dan sangat memualkan.

1) Pastikan penggunaan huruf kecil yang tidak bercampur dengan huruf besar. Huruf besar hendaklah digunakan di awal perkataan sahaja. Bagi kata hubung, pengawalan dengan huruf besar adalah tidak diperlukan. Sila elakkan penggunaan semua huruf besar.
  • Pemergian yang Abadi [betul]
  • Pemergian Yang Abadi [salah]
  • PeMeRGiAn yAnG AbAdi [sangat salah]

2) Gunakan fungsi huruf tebal (bold), garis bawah (underline) dan huruf serong (italic) pada tempat sepatutnya. Fungsi huruf tebal dan garis bawah adalah untuk menekankan satu-satu perkataan atau isi penting. Perlu diambil perhatian, kedua-dua formatting ini hendaklah tidak digunakan sekaligus. Bermakna, gunakan salah satu daripa keduanya.
  • Nama saya Humairah. [betul]
  • Nama saya Humairah [salah]
  • Nama saya Humairah. [betul]

Memandangkan Bahasa Melayu sering tidak terlepas daripada digunakan bersama-sama istilah daripada Bahasa Asing, maka penggunaan istilah ini juga perlu diambil perhatian. Kebiasaannya, penggunaan huruf serong adalah bagi menunjukkan penggunaan bahasa asing. Walaubagaimanapun, penggunaan pengikat kata juga adalah disarankan.
  • Contoh 1: Saya perlu menggunakan formatting yang betul.
  • Contoh 2: Beliau menaip menggunakan "formatting" yang salah.
3) Penggunaan tanda baca
Perlu difahami fungsi penanda bacaan adalah memudahkan kefahaman pembaca untuk menyelarikan tulisan dengan nada bacaan. Dalam cara menaip, selepas menggunakan tanda baca seperti noktah [.], koma [,], tanda seru [!], tanda soal [?] dan sebagainya, hendaklah diiringi dengan [jarak] terlebih dahulu sebelum ditaip perkataan seterusnya.

Selain itu, perlu diingat, huruf pertama selepas noktah adalah huruf besar.
  • Oleh itu, beliau sangat rajin [salah]
  • Oleh itu,beliau sangat malas [salah]
  • Beliau tidak makan nasi.sebab nasi ada kanji. [salah]
Perlu diambil perhatian juga, penggunaan tanda baca yang melebihi satu adalah tidak diperlukan, walaupun anda mahu menggambarkan emosi anda. Cara yang tepat untuk menggambarkan emosi adalah menggambarkannya dalam bentuk ayat, bukan tanda baca yang melebihi keperluan kerana itulah tujuan utama menulis. Memahamkan pembaca tentang apa yang ingin anda sampaikan melalui perkataan. Kan?

4) Penggunaan kependekan
Sila jangan gunakan sebarang kependekan dalam taipan rasmi. Laman internet, e-mel dan blog tidak menghadkan aksara yang boleh dihantar. Tiada alasan kenapa anda perlu menggunakan kependekan seperti "yg", "x", "tp", "nk", "u", "jk" dan seangkatan dengannya. Sungguh saya serabut melihat "x" digunakan sebagai lambang penafian. Melambangkan betapa pemalasnya anda.

5) Penggunaan warna yang berbeza.
Seperti fungsi huruf tebal, penggunaan warna yang berbeza bagi menghasilkan kontra hendaklah digunakan pada tempat yang perlu bagi menekankan satu-satu perkataan.

6) Penggunaan font.
Font yang digunakan seharusnya tidak berubah-ubah secara drastik tanpa keperluan.
Begitu juga dengan saiz.


Saya bukanlah pembaca tegar blog Ustaz Hasrizal. Tapi kekemasan yang dijaga Ustaz Hasrizal dalam cara penaipan beliau sangat mengujakan saya dan cukup untuk membuatkan saya menghormati beliau. Saya percaya, itulah antara kunci kejayaan blog beliau.

Sila baca kupasan beliau yang sangat tepat tentang penggunaan bahasa yang bukan lagi bahasa itu.


______________________________________________________________
Di bawah ini adalah repekan semata.

Sila rujuk di sini untuk ulasan saya tentang penggunaan bahasa yang cantik.

Saya bukanlah seorang yang mahir dalam bahasa. Jauh sekalilah mencapai tahap ahli bahasa. Namun begitu, saya sering kali digelar sebagai "Pakar Bahasa" oleh rakan-rakan dan sering juga dinobatkan sebagai "otak sastera". Berikutan tulisan saya dalam risalah terbitan BPI PERUBATAN baru-baru ini yang dikatakan menggunakan Bahasa yang agak tinggi, para senior juga sudah mula melihat saya sebagai "ahli bahasa". Ya, "ahli bahasa" bukan istilahnya, tapi saya tidak tahu apa istilah yang sesuai.

Saya tertarik dengan pendekatan PTS Publication yang menekankan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dalam buku-buku terbitan mereka. Bahasa Melayu Tinggi benar-benar menaikkan imej Bahasa Melayu dan penutur serta penggunanya sendiri. Bandingkan sahaja dengan lambakan novel-novel di pasaran sekarang yang menggunakan Bahasa yang sangat rendah mutunya.

Apa yang saya mahu tekankan di sini adalah penggunaan Bahasa yang baik yang boleh menjaga imej dan standard maklumat yang kita persembahkan.

Untuk menulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, saya rasakan agak sukar buat saya. Mungkin kerana persekitaran yang menggunakan Bahasa Rojak serta kurangnya bahan bacaan dalam Bahasa Melayu Tinggi memburukkan lagi penguasaan saya dalam Bahasa.

Yang menjadi persoalan, tahap bahasa saya yang sebegitu teruk sudah dipandang orang-orang sebagai baik. Maka, yang langsung tidak menjaga harus dikategorikan apa?