Pages

Sunday, February 2

Antara Dua

Lama sungguh saya tinggalkan ruang ini tanpa tinta. Baru saya sedar, rupanya blog ini menjadi tempatnya kalau ada sesuatu yang saya tidak suka kongsikan dengan orang ramai, di medan seperti Facebook.

Kali ini, kami diuji. Abi diuji dengan sepucuk surat berkuatkuasa serta-merta, menamatkan perkhidmatan Abi dari kolej yang abi sendiri penggerak awal dalam meletakkan tapaknya. Keputusan tanpa dibenarkan pembelaan. Padahal sudah lama Abi meluahkan betapa Abi tidak selesa di KIAS. Tidak dipanggil mesyuarat, tidak diberi tugas dan dipinggirkan dalam urusan pentadbiran. Namun saya sebagai anak, memilih untuk tidak lebih-lebih bertanya. Abi tahu halal haram. Bukan tidak pernah terdetik, halal dan berkatkah bayaran gaji yang menjadi sumber utama kehidupan kami. Tapi Abi sendiri, telah berusaha membetulkan keadaan. Malangnya, padang itu tidak rata.

Seminggu lalu, saya diberitakan bahawa cuti kami dipanjangkan. Kepada Ummi saya khabarkan. Kalau biasa-biasanya, asal cuti sedikit, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah untuk pulang ke pangkuan keluarga. Berbeza benar tahun ini, saya seolah nekad untuk kekal di Mesir, atau kalau berpeluang, Tanah Andalusia itu sungguh benar-benar menarik-narik kaki ini.

Walaupun Ummi berbasa-basi menyatakan mahu saya pulang, kali itu saya tidak mudah patah. Cepat-cepat saya beritahu, "Takpe lah Mi, tahun ni jah. Nak kelik pun rasa serba salah. Tahun akhir dah. Nak jalan-jalan sikit."

Sedang saya berwhatsapp dengan keluarga, untuk meminjam kad kredit Ummi atau Abi bagi membeli tiket bas ke Granada dan tiket masuk ke Al-Hambra, Abi meminta maaf kerana sedang sibuk dan tidak sempat untuk menguruskan pembelian itu.

Saya terima whatsapp daripada adik saya. Achik menawarkan untuk menguruskan pembelian. Dari situ Achik mengkhabarkan Abi telah menerima surat tersebut. Ya, surat yang kini telah tersebar di seluruh alam Facebook, diulas hangat oleh pemerhati-pemerhati politik Kelantan.

Sehingga hari ini, hampir setiap hari saya menghubungi Ummi. Bertanyakan khabar perkembangan terbaru. Sebarang update di Facebook, satu-satu saya teliti. Biar saya rasa pedihnya yang Abi rasa. Kebanyakan masa saya, saya luangkan mencari maklumat dan komentar berkaitan.

Hanya Allah yang tahu, betapa hati ini berbolak-balik, antara meneruskan perancangan menjejak Tanah Andalusia, atau pulang ke pangkuan keluarga untuk memberikan sokongan. Walaupun, saya tahu, tidak banyak yang dapat saya buat dengan berada di tanah air. Tapi cukuplah untuk berada bersama keluarga, saat ujian sedang menimpa.

Namun menurut Ummi, Abi okay-okay sahaja. Malahan bersemangat. Bersemangat kerana sudah lama Abi menunggu padang yang rata untuk membela diri.

Ummi pula tidak kurang diserang dan diajak berdebat di Group Whatsapp. Dihasut-hasut supaya membela Abi. Namun Ummi seperti biasa, memilih untuk berdiam. Bukan kerana muram, tapi tiada keperluan untuk melayan. Di pihak yang sana, bertubi-tubi pembelaan dikeluarkan, mahu membenarkan tindakan.

Keyakinan bahawa Ummi dan Abi tenang berhadapan krisis ini, tidak pula memberi keyakinan kepada saya, bahawa adalah okay untuk tidak pulang.

Di kala istikharah tidak memberi hasil, di kala Ummi dan Abi tidak sungguh-sungguh menyatakan "it's okay not to come home," sepanjang itulah hati ini tidak senang duduk. Sesalnya tidak mengikut hasrat Ummi awal-awal bicara dahulu! Lain kali, pastu firasat Ummi itu saya jadikan antara kayu ukur utama.

Sungguh, redha mutlak ibu ayah adalah perkara terpenting buat diri ini. Jangan ada sebarang perbuatan, atau pilihan yang tidak diredhai mereka. Biar mulut mereka membenarkan, diri ini perlu tahu bahawa mereka senang hati dengan pilihan yang dibuat. Semoga dengan redha mereka, redha Allah saya gapai.

Sehingga 2 jam sebelum catatan ini ditulis, jari jemari ini masih rancak mencari tawaran tiket termurah untuk ke Kuala Lumpur. Walaupun kerugian bakal ditanggung.

Galaunya hati bila susah sungguh untuk memperoleh yakin. Walau berkali dan berhari istikharah dilakukan. Semoga yakin yang datang sejenak Maghrib tadi, kekal berpanjang. Dalam permusafiranku, pasti doa yang tidak putus-putus bakal saya titipkan. Semoga urusan Abi dan keluarga dipermudahkan semua. Semoga keadilan ditegakkan. Semoga PAS Kelantan kembali gemilang. Semoga kerajaan Islam Kelantan kembali diyakini rakyat.

Walaupun tahu kelana ku kali ini pastinya bukan dengan hati yang girang, tapi langkah ini tetap harus aku ambil. Moga Allah kuatkan langkah kami sekeluarga.

Andalusia, aku datang!

Di bumi ini, ibrah kejatuhan sebuah kerajaan yang menjadi kebanggaan, pasti menjadi permainan utama minda saya.