Balik kelas tuisyen tadi, berY!M dengan Achik. Melayan geramnya. Geram kerana Hana buat perangai. Ummi pula melayan tetamu yang datang jam 10 malam. Ibu kepada murid ummi, membincangkan hala tuju anaknya selepas SPM. 10 malam biasanya, rumah kami sudah senyap sunyi. Kalau ada pun yang besar dalam bilik masing-masing. Adik-adik pasti sudah tidur (inilah sebabnya sampai sekarang pun saya ada perangai tidur awal. haha)
Untuk memujuk Hana, cuba berY!M dan berwebcam. Berjaya menenteramkannya sementara. Ah, muka Hana semakin mirip dengan saya!! Hahaha. Muka bulatnya itu.. Tangannya. Matanya. Hoho. Sah, memang kami adik-beradik sepesen. Tapi hidung dan kening Hana macam Achik kot. Takde kening. Kui4.
Sekarang ini, sedang terkejar-kejar menghabiskan silibus pengajian Tahun 3. Parah juga. Tuisyen 8 jam seminggu. Sehingga terbayang-bayang mungkinkah akan akhirnya memilih Pathology sebagai specialty. Seronok juga, tiada on-call. Bekerja mengikut Office Hour. Hoho~
Cuti jadi sehari bagi mengimbal masa yg digunakan bercuti di Malaysia sempena revolusi. Berkira-kira pula, sekiranya setiap hari kelas sampai ke pukul 4 petang, bila masanya untuk bermesyuarat, untuk ber-Smart Circle. Ah, kacau. Rupa-rupanya hidup dengan menekuni pelajaran di bilik kuliah sahaja tidak seronok. Namun, sekali terbiasa, susah untuk keluar. Jatuh cinta barangkali. Sekali mula menggerak langkah ke kerja-kerja persatuan, idea-idea akan datang, otak mula mengatur strategi. Cinta beralih arah kepada tanggungjawab.
Di sini perlukan kebijaksanaan menguruskan masa. Dan mengetahui prioriti. Pelajaran nombor satu, tapi kerja masyarakat/persatuan bukan nombor dua. Sungguh, terasa cabarannya bila menyambut amanah di saat orang-orang mula mengatur langkah untuk peperiksaan.
Di situ, dua tanggungjawab. Yang ketiga, masih ada keluarga yang merindukan panggilan. Ada ibu dan bapa, adik beradik yang akan terasa kosong kalau tidak diberikan khabar. Andai sedikit terlewat menelefon rumah, ummi pasti bertanya: "Guano lama tok telefon?". Akhirnya, ummi memutuskan: "Takpolah tak telefon sokmo pun, belajar molek2. Kerja (persatuan) molek2. Sieru ala barakatiLLAH".
Hakikatnya begitulah kehidupan ini. Perlu adil pada diri, adil pada insan-insan di sekeliling, adil pada yang menyayangi dan disayangi, adil pada amanah yang disandangkan dan diberi.
Akhirnya tersedar. Rupa-rupanya saya bukan orang yang "ambitious". Saya hanya melakukan apa yang saya fikir dan saya tahu wajib atau harus untuk saya lakukan. Selama ini, tiada satu pun yang saya lakukan menuju ke matlamat untuk mendapatkan natijah yang terbaik pada skala ukuran manusia. Kejayaan dalam peperiksaan di zaman sekolah, biar dijulang terbaik peringkat negeri, namun itu bukan satu kepuasan. Sebab bukan itu yang saya cari. Kepuasannya adalah bila merasa berserah sepenuhnya kepada yang Maha Takdir, dan mampu untuk redha dengan segala ketetapan-Nya, dan akhirnya mampu melihat ummi dan abi tersenyum gembira.
Bukan kereta yang dipandang orang yang menjadi idaman, cukuplah yang sesuai dengan kemampuan, selesa, dan tidak kemek hasil sedikit perlanggaran.
Sikap non-ambitious inilah yang membuatkan saya tidak terasa mahu meraih "Mumtaz". Bahkan cukup kalau tidak perlu Dur Thani. Namun hakikatnya, manusia mengukur itu semua. Tambah pula bila menyatakan kesanggupan berada di lapangan, mengerjakan tanggungjawab yang dikira sebagai nombor dua dari lapangan kewajipan sebagai seorang mahasiswa. Maka, mahu atau tidak, bukan sekadar lulus atau gagal yang harus diperhati, namun juga kualiti.
Sejenak tadi baru usai menonton drama bersiri Grey's Anatomy. Episod ke 14 dari season ke-3 merungkai akibat daripada sikap mengejar kejayaan dan cuba menjadi extraordinary person yang dimiliki Ellis Grey. Hakikatnya, dalam kehidupan, bukan menjadi extraordinary person itu yang akan memberikan kepuasan dan ketenangan. Bahkan akan lebih lega bila boleh menjalani kehidupan sebagai ordinary person.
Ya, itulah saya. Saya suka dan sangat suka menjadi ordinary. Walaupun kerap kali dilihat a little bit extraordinary. Bahagianya bila duduk-duduk di rumah sahaja. Bergelak tawa dengan adik-adik. Sembang-sembang dengan ummi. Petang duduk minum air teh bersama abi, sambil dibuai bayu Sungai Kelantan. Seronok. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Tiada langkah-langkah rumit dan pertimbangan-pertimbangan perlu difikirkan. Tiada risiko yang harus dibimbangi. Oh, home is really where my heart is! [No offense, tapi saya memang makhluk perumah. Hatta di Mesir sekalipun, melangkah ke luar adalah perkara yang paling berat dan melangkah pulang adalah perkara yang paling seronok. Apatah lagi di rumah yang wujudnya manusia-manusia terchenta itu]
Ah, seronoknya menyakat budak ini!
Tapi sekadar itukah tujuan kita dihidupkan? Melihat dari skop berbeza dengan watak Ellis Grey, menjadi yang terpilih dan lebih itu perlu bagi seorang yang mengaku dan berikrar mahu memperjuangkan Islam. Maka, apakah lagi pilihan yang ada? Di saat ummat dahagakan barisan hadapan meneraju pembinaan semula tamadun Islam yang pernah tenggelam, di balik jendela kaca sahajakah tempat kita memerhati? Di saat pemuda-pemuda berani mengatur langkah mencatur perisai melalui liku ke arah impian, dari skrin laptop sahajakah kita menatapi?
Cuba menjadi matang. Cuba kembali ke ruh "penggerak". Cuba kembali ke jajahan "Doers". Biar apa sahaja lapangan, moga yang dikerjakan memberi pulangan untuk Islam. Paling tidak mampu sekalipun, jadi penebar semangat, pemasak keyakinan.
Menjaga hati itu sukar sekali. Semoga diberi kekuatan untuk terus thabat.
Buat anda, terima kasih kerana membuatkan saya berfikir tentang masa depan. Tentang siapa saya sebenarnya. Kerana menyedarkan saya, diri ini bukanlah ambitious. Kerana membawa saya ke daerah pemikiran dewasa. Kerana menyedarkan saya, bukan semua keputusan boleh diserah bulat kepada Ummi dan Abi lagi, biarpun itulah satu-satunya jalan yang boleh membuatkan saya memilih keputusan dengan tenang dan yakin.