Tapi ceritanya begini. Saya telah ke Mugamma3 bersama-sama rakan-rakan saya yang comel.
Setibanya di Mugamma3, kami tidak perlu melalui Security Check. Kami juga sangat teruja melihat keadaan persekitaran Mugamma3 yang sungguh bersih.
Semua petugas di Mugamma3, baik di Pintu Masuk sehinggalah di meja polis, menyedekahkan senyuman kepada kami.
Kami menuju ke kaunter untuk membeli setem. Semua pelanggan beratur dengan baik. Bila tiba giliran saya, petugas itu menyapa. "Assalamualaikum, Selamat Pagi, ada apa boleh saya bantu, cik?"
Saya tersenyum. "Waalaikumussalam wbt, Selamat Pagi. Boleh berikan saya tiga set setem berharga LE83?"
"Tunggu sebentar ye cik." Balas pegawai itu lantas mengambil setem-setem yang saya perlukan."
Saya membayar harga setem. Pegawai itu mengucapkan terima kasih sambil berkata, "Sila datang lagi."
Kemudian, saya terus mengambil nombor giliran untuk mendapatkan visa.
Tempoh penungguan dirasa sebentar cuma. Kerusi-kerusi empuk yang tersedia dan ada ruang bacaan khas memberi ruang pelanggan yang menunggu untuk mengisi masa dengan baik. Lagi pula pelanggan adalah tidak ramai.
Apabila nombor saya tertera di skrin LED di kaunter nombor 40 , dan kedengaran suara dari perakam yang menyebut nombor giliran saya, saya bingkas ke kaunter tersebut. Di atas meja di kaunter, tertera plat yang bertulis, "Saya _______________, Selaku Pegawai ________ bersedia membantu anda. Sila tegur saya jika saya tidak senyum. Kepuasan Pelanggan adalah keutamaan kami."
Pegawai tadi menyapa: "Salam sejahtera ke atas kamu. Selamat Pagi, ada apa boleh saya bantu, cik?"
Saya senyum kembali. "Salam sejahtera, salam kerahmatan dan keberkatan dari Allah ke atas kamu. Ini passport saya, saya mahu mendapatkan visa."
Pegawai itu melihat slip yang saya kepilkan bersama passport dan menekan papan kekunci komputernya. Setelah beliau mencari-cari, beliau tetap tidak menemui padanan nombor slip yang saya berikan.
"Maafkan saya, visa anda belum siap diproses. Ini adalah satu kes yang pelik, tidak pernah terjadi begini dalam perkhidmatan kami selama ini. Maafkan saya. Kita selaku orang Muslim seharusnya menepati janji, nanti saya mintakan pegawai di kaunter 28 semakkan, saudari tolong tunggu sebentar ya."
Giliran rakan yang lain terus berjalan. Pegawai itu sangat cekap, menyemak nombor, mencetak visa dan terus menampalkannya pada passport.
Sekali lagi saya dipanggil, dan pegawai itu meminta maaf kerana visa saya tersilap proses akibat kesilapan teknikal. Visa saya akan siap selepas Hari Raya Aidil Adha. Berkali-kali pegawai itu meminta maaf.
Sikap proffesional pegawai-pegawai di Mugamma3 itu sungguh melegakan hati saya. Sekarang, tiada lagi pegawai di Mugamma3 yang mengunyah roti ish bersama tokmayyah sambil menyemak borang kami. Tiada lagi kesan tumpahan air kopi atau teh susu pada borang permohonan. Tiada lagi jerik tempik pekikan yang memarahi pelajar-pelajar Malaysia. Tiada lagi perebutan bersama pelanggan-pelanggan lain untuk menyerahkan borang dan mengambil visa yang siap.
Tahniah, Mesir! Majulah Mesir untuk Islam.
_________________________________________________
Nota 1: Para pembaca yang sangat budiman dan sangat suci hatinya, ketahuilah keadaan yang berlaku sebenarnya adalah totally the reversed.
Nota 2: Saya lupa membuang babak setem. Seharusnya, babak membeli setem harus dibuang supaya keadaan menjadi lebih idealistik, pastinya tidak realistik.
Nota 3: Penegasan Utama - Keadaan sebegini mustahil untuk terjadi di Mesir, sedarlah, anda di MESIR!! Keadaan sosiobudaya takkan membenarkannya terjadi, walau sepositif mana pun pemikiran anda. Masihkah ada ruang?