Pages

Saturday, December 4

Turunlah dari Permaidani Merah itu!



"Nak berdakwah di atas permaidani merah."

Ummi pernah menyebutkan istilah ini sewaktu cuti musim panas. Ummi memberi perumpamaan badan-badan yang katanya mahu berdakwah, tapi pilih cara mudah. Saya kurang ambil perhatian. Sebab kata-kata ini Ummi sebutkan hasil daripada bebelan saya sendiri.

Berbincang dan mengikuti sesi perkongsian dengan orang-orang berpengalaman dalam medan dakwah, saya sedikit demi sedikit mula memahami maksud kata-kata itu. Akhirnya saya sedar, bukan hanya golongan yang selalu kita sebutkan itu yang suka berdakwah di atas hamparan permaidani merah, namun sikap dan situasi ini sudah menular dan merebak dalam satu persatuan yang mengwar-warkan wala', sam3u wa at-tho3ah, dan pengorbanan.

Mari saya rungkaikan maksud kalimah-kalimah di atas. Bagaimana yang dikatakan berdakwah atau berjuang di atas hamparan permaidani merah itu?

إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر


“Sesungguhnya jihad yang besar adalah kalimat ‘adil (benar) yang disampaikan di sisi penguasa yang zalim/jahat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 8/83, no. 2100. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Jami’ ash-Shoghir, Shohih Sunan at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)


Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang mengaku diri sebagai pejuang agama Allah mampu melakukan ini? Usahkan menegur pemimpin yang zalim, menegur masyarakat di sekeliling yang melakukan maksiat kepada Pencipta sahaja sudah longlai dan lari! Kenapa? Kerana tidak dididik dengan ketegasan. Hanya dengan kemanjaan. Hanya dengan menyempitkan tarbiah kepada UKHUWWAH berkelompok, menjaga hanya sesama ahli jemaah. Inikah bakal Khalifah yang kita harapkan? Kononnya mahu menguasai dunia, membentuk ustaziatul alam. Ah, usah terus bermimpi, bangkitlah dari lenamu!

Terusan bermimpi, menghebahkan gaya hidup untuk tidak menjadi robot, hadam segala maratib amal, usul isyrin dan muasafat tarbiah tidak menjamin kualiti dakwah. Istilah paling tepat adalah SYOK SENDIRI. Syok, asyik, dzuq. Rasanya sudah cukup amal, cukup mantap ukhuwwah dan cukup usrah untuk membina fardu Muslim. Mari kita menganjak ke Beit Muslim. Oh, sudah punya anak. Kita kumpulkan semua kita dalam satu jemaah kita. Inilah Mujtama' Muslim. Semudah itukah?? Adakah cukup untuk menegakkan khilafah dengan menjaga hanya sebahagian 1% daripada bilangan kaum Muslimin?

Cukup lah dengan egomu. Hapuskan riak dan ujubmu. Itu hanya idealistik! Kembalilah kepada realiti. Turunlah dari permaidani itu. Selami masyarakat di sekelilingmu. Lupakan kepentingan dunia dalam sebenar-benar makna. Biar terancam jawatan dan kedudukan.

Dalam mengajak kepada kebenaran, semua orang berkobar-kobar. Habis semua orang diajaknya untuk berusrah. Oh, usrah bunyinya berat. Takpe, kita buat sharing. Kita berkongsi sesama kita. Kita kan orang hebat.

Dalam menganjurkan sharing-sharing tersebut, kepada siapakah pula ilmu-ilmu yang akan diperbincangkan dirujuk? Dari manakah sumber ilmu-ilmu tersebut? Wahyu dari langit mungkin?

Barangkali selepas ini kedai-kedai kitab boleh gulung tikar. Semua ilmu boleh didapati di internet. Barangkali selepas ini kitab-kitab tafsir boleh dibakar. Tiada nilainya perbahasan-perbahasan ulama, kerana kita punya akal yang hebat! Hebat, boleh mentafsir maksud kalam Allah.

A: Kita baca ayat dari surah sekian-sekian. [Selesai baca]. Ok adik-adik, apa yang boleh kita dapat dari ayat ni? Ada sape-sape yang nk kongsikan apa yang dia dapat?

B: "Bila saya baca ayat ni.. Saya rasa macam Allah nak tunjukkan kat kita, kita ni tak pernah pun jaga sahabat kita dengan cinta yang besar. Macam ada sorang ukhti ni.. Dia menangis baca ayat ni.. Nak katanya kita ni jauh lagi dengan tahap ukhuwah yang tertinggi."

C: "Bagi saya kan akak.. Ayat ni.. macam Allah nk tunjuk kita.. bla3. sedangkan Nabi pun begini2. "


Ah! Mudahnya kalian mengenepikan perbahasan ulama dengan mencipta perbahasan sendiri! Paling kurang pun, rujuklah dahulu sabab nuzul ayatnya. Cukup-cukuplah dengan syok sendiri. Bila mampu membuat satu ulasan tentang ayat, terasa diri hebat! Hebat! Dhollu wa adhollu. Inikah yang kalian sebutkan sebagai kembali kepada Al-Quran dan Sunnah? Oh, hadis junjungan s.a.w. bukan sekadar matan Arba3in. Dan ada juga hadis yang fungsinya bagi menerangkan ayat-ayat Al-Quran. Sudah kalian lumati semua itu?

Cukup-cukuplah mengkaderkan golongan syok sendiri. Cukuplah. Dunia sudah tua. Tak larat lagi menanggung pelbagai kerosakan.

Turunlah dari karpet merah itu. Rendahkan egomu. Hapuskan riak dan ujubmu. Belajarlah dari yang ahli. Biarlah kita bina kekuatan menyampaikan hasil daripada ilmu. Bukan ilmu yang dibina atas hasil kelantangan suara dalam menyampaikan.

Saya juga sayang kepada sahabat-sahabat seperjuangan saya. Bukan kita tidak melakukan kesilapan. Tapi kita juga syok sendiri. Jiwa tarbiah itu kurang dihayati. Berpersatuan hanya kerana kita mampu bekerjakah? Berpersatuan kerana hanya dengan itu kita akan mampu berjuang untuk Islam? Sempit.

Benar, menguruskan dan mempermudahkan urusan orang lain melalui jalan persatuan adalah satu tarbiah yang sangat berkesan. Namun, jika tembok keegoanmu tidak dapat diruntuhkan, itu bukti kekurangan tarbiah. Tidak tahu beza tempat untuk serius dan bergurau mesra. Boleh tergelak mengekek ketika sahabat meluahkan beban yang ditanggung. Boleh mempersendakan idea orang lain secara mentah hanya kerana kita punya kepetahan berkata-kata? Kerana kita punya kehebatan dalam pengurusan dan perancangan?

Lebih malang lagi apabila tidak pernah serius dalam tarbiah. Tidak boleh menjatuhkan ego menerima kritikan. Seolah-olah semuanya akan dapat diatasi sendiri.

Jauhkanlah dirimu dari karpet merah itu. Hindarkanlah sahabat. Di sini kita tidak menerima tohmahan dan ancaman. Sepulangnya ke Malaysia, pelbagai ancaman menanti. Mudah saja jalannya untuk futur. Sehebat mana pun kita dalam merencana dan menguruskan aktiviti persatuan, tanpa jiwa tarbiah yang mapan, tanpa hati yang mampu tunduk kepada arahan, tanpa jiwa yang mampu menerima dan menghadam kritikan, tanpa rohani yang tawadhu', insyaAllah futur akan menyertaimu.

Jalan dakwah tak akan direntangi permaidani merah