Pages

Sunday, August 15

Pembangunan Wanita?

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang

Salam kesejahteraan dan salam berkah Ramadhan buat kalian.

Jemari ini semakin hilang rancak dan rentaknya bila memegang pena atau menari di papan kekunci. Akal ini semakin perlahan memuntahkan kata-kata yang bersesuaian bagi melakarkan yang tersemat di fikiran. Tujuan kali ini bukanlah sekadar meluah rasa, bahkan sebolehnya mahu mencoret apa yang tercerna di fikiran.

YAHOO! @ Pangsun: Jungle Trekking
(Macam jalan-jalan kat air terjun biasa je.. tak thrille pun.. Hak2)

Baru-baru ini, saya menyertai Summer Camp anjuran PERUBATAN. Seperti biasa, bilangan peserta wanita akan melebihi lelaki. Apa yang lagi menarik, pada kali ini, hanya terdapat 4 orang peserta lelaki. Hebatkan mereka? Kekurangan peserta lelaki ditampung oleh bilangan AJK lelaki yang menjadikan keselurahannya terdapat 16 orang lelaki, bersama 40 peserta dan AJK perempuan.

Oleh kerana peserta ramai daripada kaum Hawa, pengisian dan slot juga lebih menjurus kepada wanita.

Sedar atau tidak, di zaman milenia ini kita lebih menumpukan kepada pembangunan wanita. Mahu wanita seiring melangkah ke hadapan, mahu wanita serba boleh, mahu wanita berdikari dan berbagai-bagai lagi kemahuan dengan tujuan "meningkatkan daya saing wanita". Seolah-olah satu usaha besar-besaran bagi membuang imej "wanita tempatnya di dapur" giat dijalankan.

Natijahnya, sehingga ke hari ini, pelbagai program pembangunan wanita dianjurkan. Pelbagai kursus dan seminar diperkenalkan. Tumbuhlah pula persatuan-persatuan dan pertubuhan yang menaungi dan memberi seokongan kepada para wanita dengan mekarnya.

Silalah bilang mengikut jantina :P

Ya, usaha itu berjaya. Lihat sahaja bagaimana kaum Hawa mendominasi IPT. Lihat sahaja berapa ramai wanita yang menyandang jawatan berpangkat rendah sehinggalah ke peringkat Menteri. Berapa ramai yang terlibat dalam menggubal dasar-dasar negara, memberi komentar dan pandangan yang mengubah landskap dunia.

Namun kita lupa pada pembangunan kaum Adam yang seharusnya lebih dititkberatkan. Hasil pengabaian ini, lihat sahaja berapa ramai pula dari kaum Adam yang terperuk di Pusat Pemulihan?

Di akhir zaman, bilangan lelaki akan merosot. Susut akan makin susut bilamana bilangan lelaki yang "competent" makin merudum. Nah, biar sahaja kalau bukan azali mereka rajin menekuni buku. Asalkan mampu membangun di sudut yang lainnya.

Lelaki akan jadi ketua keluarga. Peranan inilah yang menjadi akar umbi dan penentu kepada kemungkinan kewujudan "keluarga sakinah". Longlainya peranan yang dimainkan seorang ketua keluarga dalam mengemudi rumahtangga menatijahkan pelbagai masalah yang kini membarah dalam masyarakat. Ya, kesannya sudah kita lihat kini.

Bapa sibuk mencari rezeki. Ibu ikut sama turun padang bagi memanfaatkan segulung ijazah atau diploma, di samping menampung keperluan keluarga yang tidak terlunas sekadar dengan pendapatan bapa. Anak-anak hilang kawalan. Bukan dibiarkan, tapi tak makan tegahan.

Akhirnya kitar ini berterusan. Pendidikan anak-anak terabai, dan lahirlah masyarakat tanpa nilai akhlaq yang mapan.

Dari keluarga yang bermasalah, anak-anak mencari rakan di luar. Bergaul bebas, meneruskan kitar pembinaan keluarga yang juga bermasalah.

Semuanya atas dasar tidak punya agama.

Berteori memang mudah. Mesej saya di sini, pembangunan kaum lelaki juga harus seiring malahan lebih terkehadapan daripada kaum wanita.


Sekian dahulu buat kali ini, harap mesejnya jelas. Sedang bertatih untuk kembali menulis dan menkonstruk ayat. :)