Pages

Thursday, February 11

Ibrah Musafir perlu Berempat

Alhamdulillah semalam telah selamat tiba ke rumah setelah tersadai menunggu flight di Ataturk Aiport (TAV) sedari jam 11 pagi akibat salah faham waktu membeli tiket. Suhaila dan Bushra terlebih dahulu pulang pada jam 12.30 p.m.. Penerbangan saya dan Aisyah pada jam 7 malam.
Tersadai di lapangan terbang itu, dan bergilir-gilir menjaga barang sewaktu bersolat cukup menyedarkan kepentingan musafir beramai-ramai, terutamanya bagi perempuan.

Keadaan yang sama juga diperhatikan sewaktu bergerak di sekitar Istanbul. Bila kami hanya bertiga, sangat sukar untuk memilih siapa yang boleh bergerak berseorangan dan siapa yang harus sentiasa berdua.

Tiga anak Kelantan (kerana mereka sering menyebut PakisTAN, dan TAN yang lainnya) di Benua Eropah.
Di seberang sana Benua Asia. Jambatan Bosphorus menghubungkan dua benua.


Dalam perjalanan pulang juga begitu. Tambahan lagi saya hanya berdua bersama Aisyah. Tiba di Cairo, kami menghubungi Izzah bagi memastikan ada musyrif yang akan datang. Sebelum pulang lagi kami telah berpesan supaya dicarikan musyrif memandangkan kami akan tiba pada waktu malam. Setelah dipastikan ada musyrif, tepat jam 10 kami siap menunggu di Balai Ketibaan.

Melihat jam hampir ke angka 12, kami mengambil keputusan untuk mengambil teksi dan pulang sendiri. Kalau ditunggu lagi, makin lewat makin bahaya. Keluar sahaja dari lapangan terbang, pemandu-pemandu teksi terus menawarkan khidmat dengan berbahasa Inggeris. LE 110 untuk balik ke Mouniera. Membalas dalam Bahasa Arab, persetujuan akhir, LE 60 dicapai. Tiba-tiba ada perasaan tidak sedap hati dan takut yang menyelinap. Hilang segenap keberanian dan keyakinan sebelumnya. Setelah menolak tawaran pemandu teksi yang pertama, ada pemandu teksi lain yang datang menawarkan khidmat. Aisyah memberitahu kami mahukan teksi bermeter. Dia katakan teksinya bermeter. Terus ditolak troli kami. Saya berterusan menolak tawarannya sehinggalah LE 50 ditawarkan.

Terlintas gambaran wajah Ummi di fikiran. Kalaulah Ummi tahu, saya pulang berdua dengan menaiki teksi pada jam 12 tengah malam, dari lapangan terbang ke rumah yang mengambil masa hampir sejam. Sedangkan sewaktu di Kelantan, saya tidak pernah menaiki teksi sendirian kerana Ummi telah melarang sedari awal. Kerana itu saya terpaksa menunggu bas walau berjam. Di Malaysia pun takut, apatah lagi di Mesir yang terkenal dengan tahap keselamatan pelajar Malaysia yang tidak terjamin. Serentak itu saya kembali menghubungi Izzah, meminta dicarikan musyrif lain. Kalau tidak, mungkin bermalam di lapangan terbang adalah pilihan terbaik.

Melangkah kembali ke dalam ruang legar, kami melihat dua orang pelajar lelaki Malaysia. Seorang daripada mereka telah lama berada di situ menunggu ketibaan rakannya. Lantas kami bertanya sekiranya mereka ada cadangan atau mana tahu kemungkinan mereka juga menuju ke Munira.

Syukur kerana rupa-rupanya mereka telah meminta khidmat kereta seorang Ustaz untuk pulang ke Sabie dan mereka menawarkan kami supaya ikut bersama. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dan kami selamat sampai ke rumah dihantar Ustaz tersebut. Rupa-rupanya musyrif tadi tersilap terminal dan hanya menyedarinya pada jam 12 malam. Telefonnya pula kehabisan bateri.

Ibrahnya di sini, perjalanan dalam kuantiti yang ramai, sekurang-kurangnya empat orang itu sangat penting bagi wanita khususnya. Sejurus menceritakan kisah semalam kepada Ummi, terus Ummi katakan: "Ini yang Ummi bimbang kalau pergi berjalan." Satu das tembakan hinggap di dahi. Terlebih berani yang mungkin membawa padah. Hampir tergadai semua pesanan Ummi dan Abi.

Ini hanya satu contoh situasi secara ringkas. Kalau diikutkan banyak keadaan yang menjadikan saya sentiasa terfikirkan hikmah di sebalik penetapan sekurang-kurangnya 4 orang wanita yang boleh dipercayai dalam safar mar'ah.

InsyaALLAH saya akan cuba mencatatkan perjalanan kami di Turkiye. Kalau tidak dicatat, mahu semuanya hilang begitu sahaja ditelan masa.

2 comments:

  1. kaw2 arab 2 'kapak' smpai LE 110..haha

    nway tertarik dgn info penetapan bilangan wanita dlm safar mar'ah 2. sblm ni x tau pn bilangannye 4

    ReplyDelete
  2. yup, siap speaking. aku cakap arab pun diorang nak tak nak je reply kot arab.

    utk safar mar'ah tu ada dua choices, either pergi dgn mahram lelaki (sorang pun cukup), atau suami, atau 4 perempuan yang boleh dipercayai (imroah ath-thiqqah).

    W/bagaimanapun, ada juga mashayikh yg menolak safar mar'ah dlm kondisi safar atas safar. Yakni, kita dah bermusafir ke sini, dan bermusafir pula sekali lagi.

    Tp aku ambik yg atas la.. bljr time skolah dlm bab haji.. ringan.. hehe.. klu tak, tak bejalan ler~ So klu ada yg nk bermusafir tp x cukup syarat ni, sila ketuk mereka.

    ReplyDelete

Saya telah menulis, kini giliran kamu. Pandangan dan perkongsian kalian amat saya hargai. ^_^