__________________________________________________________________
KESEDARAN untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam yang silam muncul kembali dalam diri pemuda-pemudi Malaysia lewat masa kini. Tidak terlepas dari simbahan kesedaran itu, kita di bumi Anbiya'.
Kesedaran ini timbul tatkala berulang kali dihidangkan dengan kegemilangan lepas. Lalu kita masih lagi tidak lekang menceritakan tentang penaklukan Palestin oleh Salahuddin Al-Ayubi dalam Perang Salib, pembukaan Constantinople oleh Sultan Muhammad al-Fateh, kegemilangan Kota Andalusia dan sebagainya. Kita berbangga dengan keunggulan Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Nafis, Ibn Battuta dan Ibnu Haitam. Tiada salahnya hal ini disingkap untuk mengimbau kekuatan lampau dengan tujuan membakar obor semangat, menyuntik kesedaran dan keinsafan, tetapi janganlah kita menjadikan nostalgia kegemilangan dan retorik kemenangan sebagai kunci untuk terus-terusan mengharapkan ia bakal berulang tanpa mengambil langkah gerak.
Tuntas, input penderitaan saudara seagama di Palestin terus-terusan dihidangkan, membakar semangat. Lambaian Al-Quds yang minta dibebaskan mematri obor perjuangan.
Kata-kata Pak Sukarno: "Berikan aku 100 orang tua, akan ku goncang Gunung Mahameru, berikan aku 10 pemuda, akan aku goncang dunia," terus-terusan membakar jiwa.
Jiwa pemuda itu jiwa yang sarat dengan obor kemaraan,
Semangat yang membara.
Prinsip yang tidak mudah digoncang.
Cekal yang tidak menuntut bayaran.
Sumbangan tanpa sempadan.
Tenaga yang tidak mudah dilumpuhkan.
Kelantangan yang tak terhenti dek semputnya nafas.
Pergerakan yang tak terbatas dek lemahnya kudrat.
Jiwa pemuda tidak seharusnya sekadar nostalgik. Sekadar meyakini sejarah kegemilangan akan berulang. Berkali-kali menilik lipatan sirah, hadam dihafal segenap tokoh-tokohnya.
Jiwa pemuda menuntut kita bertindak. Bukan sekadar bertindak menghayati dan menyampaikan, tapi berkehendak kepada gerak. Gerak itu perlu kepada thaqafah dan kefahaman. Itu titiknya, pengetahuan dan kefahaman.
Imam As-Syahid Hassan Al-Banna menyebut:
"Berikan aku 300 katibah, yang mana rohnya sarat dengan iman dan taqwa, dadanya padat dengan ilmu dan thaqafah, jasadnya terlatih dengan latihan, maka ketika itu jika kamu mengajak aku untuk meneroka angkasa lepas, menembusi bumi tujuh petala, menghancurkan kepala penjajah, aku sanggup".
Ciri-ciri yang digariskan menjadi pembahagi yang jelas antara penggerak yang tulen dan mereka yang hanya beretorik. Retorik itu perlu, namun yang lebih penting adalah kekuatan ilmu yang memacu gerak. Al-Banna dalam menggariskan 10 Ciri Individu Muslim meletakkan akhlaq yang mantap, pengetahuan yang luas serta tersusun dalam urusan sebagai kriteria yang perlu ada. Jelas, sebelum menerobos awan, memacu langkah dalam dakwah, pastikan bekalan ilmu dan hikmah yang genap dalam diri.
Bukanlah bermakna perlu tunggu sore dulu, namun selarikan input dan output. Kenapa perlu kita tergesa-gesa digasak semangat, sedangkan kita lupa, elemen yang penting adalah thaqafah dan latihan. Tuntas jadilah kita pejuang semangat, bukan pejuang kebenaran yang diyakini melalui ilmu.
Semangat akan cepat pudar dan mati tatkala tekanan menghimpit. Ilmu dan iman pula akan menjadi pemacu tatkala keadaan mendesak futur. Ingatlah pewaris nabi itu para ulama’. Bukan para pejuang semangat.
Nabi Yahya sebagai contoh, sedari kecil telah diasuh Nabi Zakariyya, dan diberikan hikmah dari Allah, sehingga beliau menghadami kitab Taurat. Firman Allah dalam Surah Maryam ayat 12 yang bermaksud:
"Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih anak-anak."Membesarlah Yahya sebagai remaja yang sangat alim, sehingga menjadi watak yang memainkan peranan besar di Jerussalem. Kekuatan ilmunya menjadikan baginda tempat rujuk dalam hal ehwal agama terutamanya setelah Nabi Isa A.S. diangkat ke langit. Beliau mengeluarkan fatwa yang menghalang perkahwinan Herodus dan Hirodia, sehingga membawa kepada pembunuhan baginda.
Contoh yang mudah dalam konteks kita di Malaysia, sekiranya semangat perkauman didahulukan tanpa mengetahui kepentingan ilmu dan penerapannya bagi memperbaik hubungan sesama masyarakat, setelah 100 tahun merdeka sekali pun, perpaduan yang diidamkan tak kan tercapai.
Begitu juga kondisi dalam berjemaah, Imam yang diberi taklifan terlalu bersemangat menghabiskan maqra tertentu dalam satu rakaat, ruku’ dan sujud yang dipanjangkan, doa yang disertai tangisan dan ditambah tazkirah yang berdegar tanpa menilai tahap kemampuan makmum, akhirnya akan mengakibatkan pupusnya jemaah.
Di sini perlunya nilai hikmah. Selain itu, perlu kita sedari, tanggungjawab dakwah merupakan tanggungjawab bagi setiap yang melafazkan kalimah “Tiada Tuhan Selain Allah.” Islam bukan hak ekslusif individu. Bukan milik golongan professional. Namun, jalan mencari ilmu perlukan kepada sikap yang professional, mengambil hanya dari ahlinya.
Firman Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 43 bermaksud:
"Maka bertanyalah ahli zikri (orang yang alim) jikalau kamu tidak mengetahui"
Rasulullah SAW ditanya : Adakah ia (menuntut ilmu) lebih mulia daripada membaca Al-Quran? Dijawab baginda: " Tidak manfaat membaca Al-Quran itu tanpa ilmu."Salurkan semangat dakwah itu terlebih dahulu ke jalan ilmu, sebelum turun ke medan dakwah yang sebenar, agar nanti tidak wujud semangat yang mencederakan dakwah.
“Apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya hanya orang-orang yang berakallah yang dapat memahaminya”,Az Zumar 9.
_______________________________________________________________
Kondisi di Malaysia
Pernyataan di atas saya khaskan untuk warga PERUBATAN. Di Malaysia, lain keadaannya.
Memetik kata-kata Proffesor Diraja Ungku Aziz:
"Belajar sambil mencabar,
Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang,
Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin,
Berpengalaman mencabar dan terpelajar."
Sejarah telah membuktikan Revolusi Politik yang besar telah berlaku di Iran dan Indonesia dengan kekuatan suara mahasiswa. Dalam sejarah Malaysia sendiri, pemimpin yang lahir dari rencah kepimpinan Universiti lebih terserlah kewibawaan mereka.
Namun ini tidak menafikan kenyataan kewajipan dan kepentingan ilmu.
Sesuaikan tindakan berdasarkan keadaan dan tempat. Itulah yang terbaik, dan memerlukan minda kelas pertama.
wah, sahabatku sudah mantap dalam penulisan!! kalah cikgu muda bm..hua33.
ReplyDeletetahniah3.
tapi,kita juga tak mahu ulamak yg hambar. walaupun penuh dgn ilmu tp takut utk menyatakan kebenaran. semangat dakwah dan pencarian ilmu perlu seiring sejalan mungkin..
Apa itu hikmah??? siapa yg boleh mentafsirkan hikmah??
ReplyDelete@ zahid:
ReplyDeletehek leh.. cikgu muda bm hnya sekadar gelaran.. Lihatlah ustazah muda PSI yg ntah hape2.. wakakka..Pahni jd cikgu tua bio plok.. hehe.
Klu nk buat tulisan gini, kena ada paksaan dulu.. Huhu.. Ni sbb ecah paksa suh tulis utk the zikr, risalah pelajar perubatan kat sini.. Tulis plok sampai lebih page, sian ko ecah kena edit.. haha..
Betul sungguh katamu itu sahabat.. Tiada yg perlu ku tambah, cuma perkataan mungkin itu aku tukarkan kpd pasti.. cewah.. huhu..
@ syihan:
you should answer..