Pages

Monday, December 13

PERUBATAN itu Anda!

Oh, mantap. Buat pertama kalinya membuat dua post dalam satu hari.

Terdetiklah hati ini mahu membuat post ini sebaik sahaja melihat komen di shoutbox JPP, sesuatu tentang ketuanan Cairo. Ini bukan perkara baru. Bahkan sahabat-sahabat saya sendiri ramai yang berura-ura mahu mengundi semua calon dari Universiti Kaherah. Kenapa hal ini berlaku sedangkan dasar PERUBATAN sendiri mahu merapatkan jurang di antara ketiga-tiga buah universiti dalam Kaherah ini?

Saya maklum keadaan ini berlaku kerana tahun lepas anggota AJKT PERUBATAN telah dianggotai oleh beberapa pelajar dari Ain Shams dan Azhar, dan ada sedikit kekurangan berlaku. Namun kekurangan ini, tidak sewajarnya diadili dengan mengambil kedudukan mereka sebagai pelajar dari Universiti Azhar dan Ain Shams sebagai sebab utama!

Andai keadaan ini berterusan, jurang akan terbina. Saban tahun kita menerima pertambahan ahli yang mendadak, dan bertambah secara berganda di Azhar dan Ain Shams, sedangkan Universiti Kaherah mengekalkan pola pengambilan lebih kurang 100 orang pelajar Malaysia setiap tahun.

Keadaan ini sewajarnya menjadi satu titik permulaan yang baik, di mana bilangan yang ramai ini dimanfaatkan atas dasar satu aqidah, satu negara, satu bidang pengajian. Kita bersama-sama dalam PERUBATAN, bersama-sama membina diri, melatih diri, mempersiapkan diri dan menggali 'added value' yang boleh diambil bagi menempuhi medan sebenar di Malaysia kelak.


PERUBATAN itu Anda, Bukan AJKT

Kerap kali bila disebut PERUBATAN, fikiran kita terbayang Kaherah. Terbayang pula Sayyeda Zainab. Kenapa begini? Maklum, majoriti AJKT PERUBATAN berada di sekitar Sayyeda Zainab. Namun, barisan AJKT ini hanya mewakili sebahagian kecil ahli PERUBATAN. Apa yang saya maksudkan, anda adalah ahli PERUBATAN. Anda dan rakan sekelas anda, rakan serumah anda, rakan seuniversiti anda, rakan semuhafazah anda, selagi mana merupakan rakyat Malaysia yang menuntut dalam bidang Sains Kesihatan di Perlembahan Nil ini, maka andalah PERUBATAN.

Ya, anda dan komuniti anda adalah PERUBATAN. Ini yang saya maksudkan sebagai Merakyatkan PERUBATAN. AJKT yang dilantik hanyalah pemudah cara dan tempat bagi pemusatan segala gerak kerja.

Pesan Rasulullah s.a.w., "Apabila kamu keluar bermusafir dua atau tiga orang, lantiklah seorang ketua." [Abu Daud, no. 2068, Hasan Sahih]

Kerana apa? Untuk pemudah cara dan penentu keputusan. (Oh, jangan salah faham maksud saya. Kewajipan berorganisasi seperti wasiat Nabi dalam Khutbah Wada' juga harus diperhati. Namun bukanlah post ini untuk membincangkan kewajipan qiadah dan kepimpinan.)

Namun tidak harus dilupa, suara dua orang yang lain masih perlu didengari dan diberi perhatian. Ketua tadilah yang akan bertanggungjawab bagi menjaga kebajikan dua sahabatnya, dalam masa yang sama, sebenarnya mereka harus saling menjaga. Itulah fungsi tanzim dalam Islam.

Teringat pula dalil yang dipelajari sebagai bukti tiada DUA Tuhan.

لو كان فيهما آلهة إلا الله لفسدتا

Maksudnya: Sekiranya terdapat Tuhan selain Allah, pastilah akan hancur binasa.
[Al-Anbiya: 22]
Dua nakhoda, pastilah binasa. Itu jugalah kepentingan pemusatan Amal Islami di bawah satu organisasi.


Kuasa di Tangan Anda!

Berbalik kepada apa yang saya maksudkan sebagai Merakyatkan PERUBATAN. Anda, saya, dia dan mereka yang merupakan ahli PERUBATAN adalah berkuasa dalam menentukan duduk bangun PERUBATAN. Anda punya kuasa untuk meneguhkan PERUBATAN di tempat anda. Anda berkuasa untuk memastikan aktiviti dan edaran PERUBATAN sampai ke tangan anda dan rakan-rakan. Anda berkuasa untuk memastikan akademik anda diambil cakna oleh AJKT. Anda berkuasa untuk memastikan semua program PERUBATAN sampai kepada anda dan mampu memberi manfaat kepada anda. Anda berhak mendapatkan penjagaan kebajikan daripada PERUBATAN.

Kata kuncinya, PROAKTIF. Jadilah ahli yang proaktif. Berhubunglah dengan AJKT yang ada. Mereka juga pelajar. Mereka juga seperti anda. Mereka tidak sombong. Mereka pasti mendengar kata-kata anda. Bagaimana saya boleh yakin? Kerana saya kenal mereka semua!

Harus diingat, menjadi ketua sebenarnya adalah menjadi hamba kepada orang yang dipimpin. Menjadi hamba dalam erti kata, berusaha bagi menyiapkan dan menghidangkan keperluan orang yang dipimpin. Maka, tanggungjawab sebagai pemimpin itu adalah sebenarnya bertaraf KULI kepada ahli.


Kepimpinan Melalui Pengaruh

Suka saya tekankan tentang kepimpinan melalui pengaruh. Pertama kali saya difahamkan dengan istilah ini adalah melalui ceramah oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil sewaktu di INTEC. Percaya atau tidak, sekiranya anda cukup hebat, anda tidak perlukan jawatan atau kedudukan untuk membuatkan orang mendengar kata-kata anda. Cukup dengan pengaruh.

Anda tidak perlu menunggu diberi jawatan untuk memastikan suara anda didengari. Kalau anda di pihak yang benar, berani bersuara bagi menjana transformasi, bijak memuntahkan idea dan melakarkan strategi, maka suara andalah yang akan dibawa ke atas, yang akan digunakan sebagai dasar dalam menentukan perjalanan persatuan.


Penutup

Apa juga keputusan yang diambil, siapa juga yang mahu diundi, pastikan orang yang anda pilih adalah yang terbaik untuk agama, untuk ummah, untuk PERUBATAN dan ahli, untuk kesatuan dan kebersamaan kita, dan untuk diri calon sendiri.

Kita merancang, Allah juga merancang, dan Allah jugalah sebaik-baik Perancang.


~Sila Undi~



Saya suka Kak Nat.. Tapi mesti Kak Nat dah penat...












~Jangan Undi~


Saturday, December 4

Turunlah dari Permaidani Merah itu!



"Nak berdakwah di atas permaidani merah."

Ummi pernah menyebutkan istilah ini sewaktu cuti musim panas. Ummi memberi perumpamaan badan-badan yang katanya mahu berdakwah, tapi pilih cara mudah. Saya kurang ambil perhatian. Sebab kata-kata ini Ummi sebutkan hasil daripada bebelan saya sendiri.

Berbincang dan mengikuti sesi perkongsian dengan orang-orang berpengalaman dalam medan dakwah, saya sedikit demi sedikit mula memahami maksud kata-kata itu. Akhirnya saya sedar, bukan hanya golongan yang selalu kita sebutkan itu yang suka berdakwah di atas hamparan permaidani merah, namun sikap dan situasi ini sudah menular dan merebak dalam satu persatuan yang mengwar-warkan wala', sam3u wa at-tho3ah, dan pengorbanan.

Mari saya rungkaikan maksud kalimah-kalimah di atas. Bagaimana yang dikatakan berdakwah atau berjuang di atas hamparan permaidani merah itu?

إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر


“Sesungguhnya jihad yang besar adalah kalimat ‘adil (benar) yang disampaikan di sisi penguasa yang zalim/jahat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 8/83, no. 2100. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani di dalam Jami’ ash-Shoghir, Shohih Sunan at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)


Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang mengaku diri sebagai pejuang agama Allah mampu melakukan ini? Usahkan menegur pemimpin yang zalim, menegur masyarakat di sekeliling yang melakukan maksiat kepada Pencipta sahaja sudah longlai dan lari! Kenapa? Kerana tidak dididik dengan ketegasan. Hanya dengan kemanjaan. Hanya dengan menyempitkan tarbiah kepada UKHUWWAH berkelompok, menjaga hanya sesama ahli jemaah. Inikah bakal Khalifah yang kita harapkan? Kononnya mahu menguasai dunia, membentuk ustaziatul alam. Ah, usah terus bermimpi, bangkitlah dari lenamu!

Terusan bermimpi, menghebahkan gaya hidup untuk tidak menjadi robot, hadam segala maratib amal, usul isyrin dan muasafat tarbiah tidak menjamin kualiti dakwah. Istilah paling tepat adalah SYOK SENDIRI. Syok, asyik, dzuq. Rasanya sudah cukup amal, cukup mantap ukhuwwah dan cukup usrah untuk membina fardu Muslim. Mari kita menganjak ke Beit Muslim. Oh, sudah punya anak. Kita kumpulkan semua kita dalam satu jemaah kita. Inilah Mujtama' Muslim. Semudah itukah?? Adakah cukup untuk menegakkan khilafah dengan menjaga hanya sebahagian 1% daripada bilangan kaum Muslimin?

Cukup lah dengan egomu. Hapuskan riak dan ujubmu. Itu hanya idealistik! Kembalilah kepada realiti. Turunlah dari permaidani itu. Selami masyarakat di sekelilingmu. Lupakan kepentingan dunia dalam sebenar-benar makna. Biar terancam jawatan dan kedudukan.

Dalam mengajak kepada kebenaran, semua orang berkobar-kobar. Habis semua orang diajaknya untuk berusrah. Oh, usrah bunyinya berat. Takpe, kita buat sharing. Kita berkongsi sesama kita. Kita kan orang hebat.

Dalam menganjurkan sharing-sharing tersebut, kepada siapakah pula ilmu-ilmu yang akan diperbincangkan dirujuk? Dari manakah sumber ilmu-ilmu tersebut? Wahyu dari langit mungkin?

Barangkali selepas ini kedai-kedai kitab boleh gulung tikar. Semua ilmu boleh didapati di internet. Barangkali selepas ini kitab-kitab tafsir boleh dibakar. Tiada nilainya perbahasan-perbahasan ulama, kerana kita punya akal yang hebat! Hebat, boleh mentafsir maksud kalam Allah.

A: Kita baca ayat dari surah sekian-sekian. [Selesai baca]. Ok adik-adik, apa yang boleh kita dapat dari ayat ni? Ada sape-sape yang nk kongsikan apa yang dia dapat?

B: "Bila saya baca ayat ni.. Saya rasa macam Allah nak tunjukkan kat kita, kita ni tak pernah pun jaga sahabat kita dengan cinta yang besar. Macam ada sorang ukhti ni.. Dia menangis baca ayat ni.. Nak katanya kita ni jauh lagi dengan tahap ukhuwah yang tertinggi."

C: "Bagi saya kan akak.. Ayat ni.. macam Allah nk tunjuk kita.. bla3. sedangkan Nabi pun begini2. "


Ah! Mudahnya kalian mengenepikan perbahasan ulama dengan mencipta perbahasan sendiri! Paling kurang pun, rujuklah dahulu sabab nuzul ayatnya. Cukup-cukuplah dengan syok sendiri. Bila mampu membuat satu ulasan tentang ayat, terasa diri hebat! Hebat! Dhollu wa adhollu. Inikah yang kalian sebutkan sebagai kembali kepada Al-Quran dan Sunnah? Oh, hadis junjungan s.a.w. bukan sekadar matan Arba3in. Dan ada juga hadis yang fungsinya bagi menerangkan ayat-ayat Al-Quran. Sudah kalian lumati semua itu?

Cukup-cukuplah mengkaderkan golongan syok sendiri. Cukuplah. Dunia sudah tua. Tak larat lagi menanggung pelbagai kerosakan.

Turunlah dari karpet merah itu. Rendahkan egomu. Hapuskan riak dan ujubmu. Belajarlah dari yang ahli. Biarlah kita bina kekuatan menyampaikan hasil daripada ilmu. Bukan ilmu yang dibina atas hasil kelantangan suara dalam menyampaikan.

Saya juga sayang kepada sahabat-sahabat seperjuangan saya. Bukan kita tidak melakukan kesilapan. Tapi kita juga syok sendiri. Jiwa tarbiah itu kurang dihayati. Berpersatuan hanya kerana kita mampu bekerjakah? Berpersatuan kerana hanya dengan itu kita akan mampu berjuang untuk Islam? Sempit.

Benar, menguruskan dan mempermudahkan urusan orang lain melalui jalan persatuan adalah satu tarbiah yang sangat berkesan. Namun, jika tembok keegoanmu tidak dapat diruntuhkan, itu bukti kekurangan tarbiah. Tidak tahu beza tempat untuk serius dan bergurau mesra. Boleh tergelak mengekek ketika sahabat meluahkan beban yang ditanggung. Boleh mempersendakan idea orang lain secara mentah hanya kerana kita punya kepetahan berkata-kata? Kerana kita punya kehebatan dalam pengurusan dan perancangan?

Lebih malang lagi apabila tidak pernah serius dalam tarbiah. Tidak boleh menjatuhkan ego menerima kritikan. Seolah-olah semuanya akan dapat diatasi sendiri.

Jauhkanlah dirimu dari karpet merah itu. Hindarkanlah sahabat. Di sini kita tidak menerima tohmahan dan ancaman. Sepulangnya ke Malaysia, pelbagai ancaman menanti. Mudah saja jalannya untuk futur. Sehebat mana pun kita dalam merencana dan menguruskan aktiviti persatuan, tanpa jiwa tarbiah yang mapan, tanpa hati yang mampu tunduk kepada arahan, tanpa jiwa yang mampu menerima dan menghadam kritikan, tanpa rohani yang tawadhu', insyaAllah futur akan menyertaimu.

Jalan dakwah tak akan direntangi permaidani merah